SHAH ALAM - Sudah tiba masa kerajaan mengkaji semula dasar bagi memerangi najis dadah di negara ini termasuk peranan agensi-agensi terlibat agar diperkasakan dengan lebih fokus. Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC),... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sudah tiba masa kerajaan mengkaji semula dasar bagi memerangi najis dadah di negara ini termasuk peranan agensi-agensi terlibat agar diperkasakan dengan lebih fokus.

Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi berkata, gerak kerja yang tidak konsisten disebabkan pendekatan ketua pentadbiran sering berubah-ubah menyumbang kepada kegagalan menangani isu dadah sejak sekian lama.

Menurutnya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sendiri ditubuhkan dengan skop yang terlalu besar dan perlu dilihat semula bagi memastikan setiap langkah pelaksanaan berdepan isu penyalahgunaan dadah lebih berkesan.

"Kalau kita anggap dadah serius, perlu perbetulkan fokus agensi yang dibentuk untuk tangani masalah dadah ini. AADK patut lebih fokus kepada pencegahan, rawatan dan pemulihan dengan kerjasama KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

"Bagi penguatkuasaan, biarlah badan beruniform saja yang fokus peranan tersebut. Selain itu, banyak juga program kempen yang bersifat ceremonial, jadi mesej tak sampai,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Sinar Harian berhubung ancaman dadah murah.

Laporan berkenaan mendedahkan, lebih sejuta rakyat Malaysia merupakan penagih dadah dan daripada jumlah tersebut, seramai 328,640 orang adalah mereka berumur 15 hingga 29 tahun.

Peningkatan itu mungkin didorong oleh faktor dadah sintetik kini boleh dibeli dengan mudah menerusi laman web gelap dan aplikasi Telegram serta WhatsApp pada harga semurah RM18.

Mengulas lanjut, Raja Azizan menolak faktor penyeludupan dadah sebagai punca utama perkembangan yang membimbangkan itu.

Jelas beliau, dadah juga diproses di negara ini dan kebiasaannya dadah diseludup masuk adalah untuk tujuan transit.

"Pengedaran dadah tetap akan berlaku kerana kemewahan yang diperoleh.

"Jadi, penguatkuasaan perlu melibatkan semua jabatan dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, kerajaan juga perlu mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dan pengalaman mengendalikan isu penagih dadah dengan sokongan dana untuk manfaat golongan sasar.

Klik di sini untuk terus membaca