MEDIA sosial pada hari ini telah membuka ruang yang luas kepada para netizen untuk memperkenal dan melariskan perniagaan.
Ia juga memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengekspresi diri.
Dalam konteks ini, media sosial juga berperanan sebagai satu bentuk terapi selagi seseorang itu ingat tujuan dia menggunakan media sosial.
Oleh kerana sudah biasa menggunakan medium itu sebagai tempat untuk mencurah perasaan, terdapat dalam kalangan netizen yang semakin mahir berlakon untuk menghidupkan posting masing-masing.
Posting-posting sebegini mudah sekali memanipulasi minda kawan-kawan yang menatapnya.
Masing-masing boleh berasa sedih kerana cakna dengan apa yang dilalui oleh ‘si pelakon’ itu sedangkan orang berkenaan meminta kawan atau adiknya untuk memetik kamera hingga berkali-kali bagi merakam momen dan mood yang sesuai.
Si empunya akaun sendiri, membuat posting untuk suka-suka. Dia tidak berniat pun untuk mengenakan orang lain.
Sebaliknya kitalah yang tidak kena apabila tercurah simpati yang melampau kerana percaya dengan apa yang dipaparkan akibat persepsi sendiri.
Dia berkarya semata-mata, kita pula menatap hingga berjurai air mata.
Ramai dalam kalangan kawan-kawan kita yang pandai membuat pengeditan foto.
Dengan kemahiran dan aplikasi komputer yang semakin canggih, seseorang itu boleh menjadikan gambarnya berdiri di depan pokok kelapa, menghasilkan fotonya berdiri penuh gaya berlatarbelakangkan Menara Eiffel.
Perisian Artificial Intelligence terkini pula boleh menghasilkan imej yang tidak terjangkau fikiran.
Tiba-tiba kawan kita boleh menjadi adiwira dengan kostum besi berkilau.
Pada hari ini, kita lebih kerap menatap skrin daripada menatap alam. Imej di skrin penuh dengan kemungkinan kepalsuan berbanding dengan paparan realiti alam yang asli. Namun, tanpa sedar, kita membiarkan diri kita terpesona dengan ‘dunia tipu-tipu’ ini.
Dari sudut yang lebih serius, kita perlu berhati-hati apabila menatap sesuatu yang begitu mempersona.
Baru-baru ini timbul berita bagaimana beberapa orang usahawan berkongsi menyewa jet sebagai prop penggambaran.
Maka terpaparlah foto usahawan melangkah menaiki jet, posing dengan beg penuh berisi duit dan berbincang sakan dengan rakan niaga untuk memateri perjanjian bisnes di dalam pesawat.
Seseorang netizen yang peka telah membuat penyelidikan daripada foto-foto yang terhasil.
Maka terbongkarlah lakonan sebenar. Jet yang digunakan itu adalah jet yang disewa.
Ia tidak terbang di udara, sebaliknya hanya diheret dari hangar atau bangsal simpanan untuk tujuan fotografi.
Tetapi sudah berpuluh foto diguna dan dikongsi oleh usahawan-usahawan ini untuk aksi penggambaran semata-mata. Ia adalah penarik untuk merekrut ahli baharu.
Bisnes, entah untung entah tidak, entah betul entah tidak. Namun, netizen yang tidak sedar, ada orang di sebalik kamera yang merakam. Ini menunjukkan bahawa ia hanyalah lakonan.
Banyak imej yang terpapar di media sosial dipetik dengan cara swafoto.
Tetapi, foto-foto yang diambil dengan pelbagai pose biasanya menggunakan khidmat jurufoto profesional atau amatur.
Untuk apa pun tujuan, sesiapa sahaja yang berdepan dengan kamera akan mempamerkan sisi wajah yang paling baik.
Kerana selalu bergambar, kita yang biasa-biasa ini pun sudah pandai posing.
Kalau dipinta membuat posing freestyle, kita mudah saja melenggokkan badan lalu tersengih dari pipi ke pipi walaupun hati sakit orang tak tahu.
Kerana itu, selagi ia adalah foto mahupun video janganlah mudah terpesona apatah lagi percaya membabi buta.
Imej sedih, gembira mahupun sakit yang dipaparkan itu diambil oleh seseorang di sebalik kamera.
Apabila kamera terlibat, kebarangkalian ia adalah tulen dan benar boleh dipersoalkan.
Oleh kerana itu, cara terbaik untuk mengetahui keadaan sesuatu atau seseorang adalah dengan menemui sendiri secara berdepan; orang kata ‘melihat dengan batang hidung’.
Cara begitu meskipun sedikit cerewet, tetapi ia cara untuk mendapat bukti yang sahih kerana realiti tidak pernah menipu.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca