MENJELANG pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti, terdapat satu lagi isu besar yang sensitif dan membimbangkan sedang dimainkan aktor-aktor politik selain sentimen 3R (raja, kaum dan agama) hangat diperkatakan ketika ini. Naratif... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti, terdapat satu lagi isu besar yang sensitif dan membimbangkan sedang dimainkan aktor-aktor politik selain sentimen 3R (raja, kaum dan agama) hangat diperkatakan ketika ini.

Naratif ‘panas’ yang menjadi ratib perbualan segelintir pemimpin politik pembangkang ketika ini semestinya berkenaan dakwaan keperluan rakyat menjadikan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sebagai referendum untuk menukar Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, sebelum penggal pentadbiran kerajaan itu berakhir pada tahun 2027.

Hakikatnya naratif itu dimulakan beberapa bulan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, seiring dengan sentimen 3R yang sudah diapi-apikan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hal ini susulan wujud spekulasi kononnya terdapat sebilangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang cuba menjayakan langkah ‘politik kamikaze’ dengan gerakan meletak jawatan wakil rakyat beramai-ramai dan cuba bertanding semula pada pilihan raya kecil kawasan masing-masing atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi membantu koalisi itu membentuk kerajaan pusat.

Desas-desus itu kemudiannya dinafikan pucuk kepimpinan BN sendiri. Namun naratif tumbang Kerajaan Perpaduan selepas PRN enam negeri pada bulan Ogos ini masih lagi dimainkan beberapa pemimpin utama PN dan Muafakat Nasional (MN) seperti Datuk Zuraida Kamaruddin, Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan dan kempen ceramah mereka.

Naratif itu kemudiannya dikendurkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dengan beliau menegaskan kenyataan itu hanya sekadar strategi perang psikologi (psywar) PN bagi memberi tekanan kepada Kerajaan Perpaduan menjelang PRN enam negeri.

Perkara itu turut diakui oleh seorang aktivis politik PN, Mohamad Shafiq Abdul Halim yang menegaskan koalisi itu tidak pernah terlibat dalam mana-mana usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sebaliknya bersedia menjadi pembangkang berkualiti.

"Ura-ura mengatakan Kerajaan Perpaduan akan jatuh sebelum PRU16 sebenarnya bermula dengan parti Muda (Ikatan Demokratik Muda) yang kecewa selepas dipinggirkan PH (Pakatan Harapan) dan difahamkan menggerakkan Langkah Do Or Die (berani mati).

"Kemudiannya, terdapat spekulasi sebilangan ahli Parlimen BN yang masih tidak dapat menerima keputusan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa koalisi itu menyertai Kerajaan Perpaduan, mahu keluar koalisi itu dan menyokong PN,” ujarnya kepada Sinar Premium.

Selain itu, Mohamad Shafiq mendakwa naratif itu diperkuatkan lagi dengan spekulasi berlakunya konflik kronik di antara DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengetuai kerajaan Sarawak sehingga dikatakan terpaksa dileraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sekiranya dua blok politik iaitu GPS dan BN - dibantu Muda dan beberapa ahli Parlimen parti kecil - bersetuju menukar kerajaan secara en bloc, kemungkinan tampuk pentadbiran Putrajaya bertukar mampu jadi realiti,” katanya.

Tidak boleh dipandang ringan

Mengulas kaitan implikasi PRN enam negeri terhadap kedudukan kerajaan pusat, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi menegaskan, PRN atau pilihan raya kecil (PRK) secara asasnya melibatkan proses pemilihan wakil rakyat atau penubuhan kerajaan negeri yang tiada kaitan langsung dengan kerajaan persekutuan.

Namun, beliau menegaskan mesej rakyat tetap boleh disampaikan terhadap kerajaan persekutuan sebagai sebuah referendum berbentuk undi terhadap parti-parti politik yang bertanding termasuk koalisi mega Kerajaan Perpaduan.

"Contoh yang boleh dilihat seperti PRK Tanjung Piai antara Bersatu-PH melawan MCA-BN yang ketika itu Kongres Maruah Melayu sedang hangat diperkatakan dan turut melibatkan bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Rentetan peristiwa itu, ramai pengundi Cina di Tanjung Piai bukan sahaja tidak turun mengundi tetapi juga memberi undi kepada calon MCA sebagai protes kepada kerajaan PH,” ulasnya.

Anis Anwar turut menyorot situasi seperti PRN Melaka dan Johor di mana sebilangan besar pengundi PH tidak turun mengundi dan memberi kemenangan dua pertiga kepada BN sebagai respons tidak berpuas hati dengan kemelut politik dalaman PH di peringkat persekutuan.

"Justeru, kempen PN mempengaruhi sentimen pengundi dalam konteks isu nasional juga memiliki pemberat yang tidak boleh dipandang ringan memandangkan isu ekonomi rakyat tidak dirasakan pulih sepenuhnya di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Keputusan PRN ini sangat diperlukan oleh PN supaya berpihak kepada mereka, sekali gus memiliki legitimasi moral menuntut perubahan tampuk kepimpinan Putrajaya,” jelasnya.

Hakikatnya terdapat tiga faktor perlu diperhalusi PN dalam merangka usaha mengambil alih Putrajaya ala Langkah Sheraton 2.0 iaitu mengambil kira respons ahli Parlimen UMNO-BN terhadap kualiti kepimpinan Ahmad Zahid, respons akar umbi UMNO terhadap Timbalan Perdana Menteri itu serta proses rundingan PN meyakinkan BN, GPS mahu pun Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam rundingan ini, blok Borneo akan memiliki kuasa terbesar menentukan hala tuju politik negara pasca PRN manakala proses pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipenjara ketika ini bakal menjadi ‘umpan’ PH untuk mengikat sokongan BN.

"Cuma saya fikir, tiga faktor ni juga tidak semestinya berlaku secara terus. Untuk meredakan suhu politik pasca PRN ini, Anwar mungkin terpaksa memenuhi tuntutan UMNO membebaskan Najib untuk mengelakkan rantaian kemerosotan sokongan penyokong UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan terus berlaku,” ujar Anis Anwar lagi.Tiada keperluan

Bagaimanapun, Pengerusi Panel Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menegaskan tiada keperluan keputusan PRN enam negeri menjadi referendum Langkah Sheraton 2.0 kerana ia tiada kena mengena dengan kedudukan kerajaan pusat.

Beliau juga tidak melihat rasional menukar kerajaan pusat hanya berasaskan keputusan PRN enam negeri kelak memandangkan Kerajaan Perpaduan baharu sahaja ditubuhkan selepas PRU15 dengan tidak adil penilaian negatif awal dilontarkan terhadap mereka.

"Takkan kita hendak mencontohi kerajaan Itali yang bertindak menukar Perdana Menteri pada tiap-tiap tahun? Ini hanya mencerminkan betapa lemahnya politik negara itu sehingga masa depan rakyat kucar-kacir dan ahli politik sudah tidak peduli apa kesan kegilaan menukar kerajaan.

"Biarlah Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar berjalan seperti biasa dan beri tempoh secukupnya sehingga habis penggal pentadbiran untuk rakyat buat penilaian. Sekiranya benar dakwaan Kerajaan Perpaduan lemah, tukar sahajalah kerajaan pada PRU16, bukan sibuk jatuhkan kerajaan waktu sekarang,” luah bekas Menteri Besar Selangor itu.

Klik di sini untuk terus membaca