SHAH ALAM - Pas mendakwa terdapat pemain ekonomi gelap dan golongan kroni kapitalisme cuba untuk menentukan hala tuju politik negara sekali gus merupakan musuh Islam yang sebenar. Kapital kronisme bermaksud individu atau ahli perniagaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas mendakwa terdapat pemain ekonomi gelap dan golongan kroni kapitalisme cuba untuk menentukan hala tuju politik negara sekali gus merupakan musuh Islam yang sebenar.

Kapital kronisme bermaksud individu atau ahli perniagaan yang mengumpul kekayaan dan mendapat projek hasil daripada hubungan istimewa dengan pemimpin penting dalam kerajaan.

Sementara ekonomi gelap pula ialah pihak yang terlibat dengan kegiatan judi dan pelacuran secara haram di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, ia merupakan masalah yang tidak dapat diselesaikan dalam konteks politik Malaysia.

"Kalau kita sedar atau tidak politik Malaysia tidak dibawa hala tujunya oleh ahli politik secara mutlak.

"Yang menentukan ialah dua golongan iaitu pemain ekonomi gelap dan kapitalis kronisme, yang kita dimaklumkan bahawa Malaysia berada di tangga ketiga melakukan amalan kapitalis kronisme di belakang Rusia dan Venezuela,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 405 yang bertajuk ‘PRN: Banyak Isu Belum Selesai?’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program dihoskan Ismail Adnan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mohd Yadzil Yaakub; Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, RSN Rayer.

Jelas Mohd Zuhdi, golongan itulah sebenarnya yang dirujuk dan dimaksudkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dan tulisan beliau selama ini dan bukan kepada lawan politik.

"Apabila Tuan Guru Presiden menulis dan bercakap, dia tujukan kepada golongan ini, contohnya mereka yang menentang Pas adalah mereka yang tidak beriman dan bermoral itu tidak ditujukan kepada penentang dan lawan politik.

"Tetapi mereka yang tentang apabila Pas perangi judi dan amalan ekonomi gelap seperti pelacuran dan mereka inilah yang mempengaruhi politik Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, golongan yang sangat berpengaruh itu berada di sebalik tabir politik negara.

Bagaimanapun, pandangan Mohd Zuhdi itu disanggah oleh Ahmad kerana sebagai seorang agamawan, Abdul Hadi sepatutnya bercakap dengan jelas mengenai perkara tersebut.

"Saya kurang bersetuju kerana kenyataan ini ada double meaning, agamawan sepatutnya bercakap dengan terus terang bukan di sebalik hujah.

"Contohnya dulu, timbul isu berkahwin dan makan sembelihan orang Barisan Nasional itu tidak sah, Abdul Hadi ini tiga pupu dengan saya, jadi sebagai agamawan beliau kena jelaskan satu persatu,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca