SHAH ALAM - Pendedahan diri kepada video lucah dalam jangka masa panjang menyebabkan remaja mengalami gangguan psikologi seperti kesukaran untuk fokus sewaktu belajar.
Pakar Perunding Psikologi CPC International, Dr Noor Aishah Rosli berkata, gangguan itu disebabkan ketagihan menonton video berkenaan sehingga mengabaikan tuntutan sebagai seorang pelajar.
Katanya, apabila mereka mulai taasub dengan video lucah, ia akan mewujudkan perasaan teruja untuk melihat dengan lebih kerap.
"Sebaik sahaja perasaan ketagih muncul dalam diri maka sukar untuk mereka memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu belajar kerana otak dan minda hanya membayangkan keseronokan aksi-aksi lucah.
"Keadaan itu secara tidak langsung mendorong golongan itu untuk melakukan onani sewaktu menonton video tersebut kerana mahu mendapatkan kepuasan sama,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sinar Harian melaporkan kajian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 75 peratus remaja terutamanya lelaki pernah menonton video lucah atau melihat gambar lucah.
Mengulas lanjut, Noor Aishah memaklumkan, remaja yang kerap melakukan onani akan mengakibatkan prestasi kehadiran mereka ke sekolah merosot.
Katanya, perbuatan tersebut sering dilakukan pada waktu malam dan ia memenatkan sehingga mereka sukar bangun pagi untuk ke sekolah.
Tambahnya lagi, kesan daripada menonton video lucah itu juga akan menyebabkan golongan itu mahu bersendirian dan tidak mahu bersosial.
"Apabila mereka (pelajar) merasakan aktiviti itu lebih menyeronokkan daripada segalanya, mereka sanggup mengetepikan hubungan sosial di antara keluarga dan rakan-rakan.
"Mereka akan menggunakan masa bersendirian itu dengan melayari lebih banyak video lucah untuk ditonton dan dijadikan ‘bahan’ beronani,” ujarnya.
Pada masa sama, Noor Aishah menjelaskan perbuatan berkenaan akan memberi impak buruk kepada masa hadapan remaja sebaik sahaja mereka memasuki alam perkahwinan.
Katanya, akibat taasub beronani sewaktu remaja, mereka tidak dapat menikmati keseronokan bersama pasangan.
Dalam pada itu, Noor Aishah berkata, implikasi lain yang bakal remaja hadapi adalah golongan itu akan mewujudkan daya imaginasi keterlaluan terhadapan orang di sekelilingnya.
"Hanya dengan melihat muka seseorang, mereka boleh membayangkan bentuk tubuh lalu berimaginasi melakukan hubungan intim bersama-sama,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca