DI forum ‘Kestabilan Politik Dalam Parlimen Tergantung’ di Universiti Sunway pada petang Selasa, pendamaian antara parti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dibincangkan antara lain. Malaysia memerlukan kestabilan politik demi pemulihan... Klik di sini untuk terus membaca

DI forum ‘Kestabilan Politik Dalam Parlimen Tergantung’ di Universiti Sunway pada petang Selasa, pendamaian antara parti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dibincangkan antara lain.

Malaysia memerlukan kestabilan politik demi pemulihan dan kebertahanan ekonomi. Ini tidak mungkin tercapai jika parti-parti kerajaan dan parti-parti pembangkang enggan melayani sesama lain dengan adil.

Jika wakil rakyat pembangkang tidak diberikan peluang untuk melaksanakan tugas secara profesional, manakala kerajaan sentiasa dilanda dengan ancaman untuk dijatuhkan, maka Malaysia tidak berhenti-henti berkempen sepanjang tahun. Sebaik saja satu pilihan raya menutup tirainya malam ini, hari esok bermula untuk pilihan raya yang baharu.

Masalahnya bukan beberapa kerap kita berpilihan raya, tetapi kita tidak ada tempoh berdamai di antara pilihan raya.

Jika Kerajaan Madani dan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) dapat berunding selepas PRN, apakah yang harus dimasukkan dalam ‘pakej perjanjian antara-parti’ itu?

Menteri bayangan untuk Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Bersatu) menggariskan empat perkara penting membolehkan pembangkang bersaing secara profesional untuk kedua-dua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pertama, pengiktirafan dan kuasa ketua pembangkang. Kedua, pengiktirafan dan sumber untuk kabinet bayangan pembangkang.

Ketiga, penubuhan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas Parlimen (JPKP) untuk semakan ke atas eksekutif; dan Keempat, peruntukan kawasan untuk wakil rakyat pembangkang.

Sebelum itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ucapan utamanya bertemakan reformasi Parlimen juga menyeru pembentukan lebih JPKP yang membayangkan Kementerian (departmental committees).

Beliau yang merupakan mantan menteri undang-undang turut mencadangkan pewujudan Parlimen Bertempoh Tetap untuk melengkapi undang-undang anti-lompatan (UAL) yang berkuatkuasa Oktober lepas demi memperkukuhkan kestabilan politik.

Apabila ditanya tentang pendirian peribadinya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (PH-DAP) menyokong bukan saja peruntukan kawasan yang saksama tidak mengira parti, malah pengkanunannya.

Anthony memetik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan sedia memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang tetapi pembangkang perlu membawa isu ini untuk berunding dengan kerajaan.

Apa perkara lain yang boleh dirangkumkan dalam sebuah perjanjian damai antara parti sepertimana memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH)?

Menteri Reformasi Institusi dan Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-UMNO) menjelaskan, kerumitan dalam pembahagian pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara tetapi menyatakan harapannya reformasi ini – yang dijanjikan dalam manifesto PH dan BN – akan termeterai sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Wan Junaidi berpandangan, sebuah JPKP boleh ditubuhkan khas untuk meneliti perkara ini, sepertimana JPKP yang mengkaji UAL dan pengharaman rokok pada tahun lepas.

Idea-idea reformasi institusi yang lain seperti pilihan raya Dewan Negara, penambahan kerusi Dewan Rakyat berasaskan senarai parti (party list) dengan kuota wanita, pilihan raya tempatan turut dibincangkan secara profesional dan tanpa serangan kepartian atau peribadi.

Ini mengingatkan bahawa sistem politik ini perlu bagi banyak penambahbaikan, tidak kira mana-mana parti memerintah, mereka akan dimanfaatkan apabila kestabilan, akauntabiliti dan penyertaan rakyat dapat dipertingkatkan.

Janganlah parti-parti melawan PRN dengan strategi ‘bumi hangus’ sampai isu rasuah pun jadi isu perkauman.

Semoga selepas PRN kita lihat rundingan pendamaian antara parti demi Malaysia dipermudahkan oleh tokoh-tokoh seperti Wan Junaidi.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca