EKONOMI gig bukanlah suatu yang baharu di Malaysia, malah semakin popular selepas negara dilanda Covid-19 yang memperlihatkan banyak perniagaan dan perusahaan gulung tikar serta mengakibatkan ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
Ekonomi gig merupakan suatu trend pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada syarikat untuk membina platform dengan tenaga kerja gig tanpa perlu menjadi pekerja sepenuh masa seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Kerja 1955.
Perkembangan ekonomi gig selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang memanfaatkan kemajuan teknologi, seiring dengan pembangunan Malaysia Madani berteraskan kualiti hidup lebih baik, di samping mengekalkan nilai-nilai murni.
Tidak hairanlah jika anak muda kini lebih cenderung kepada ekonomi gig kerana kebolehan mereka untuk mengendalikan teknologi dan daya kreativiti tinggi dapat menyumbang kepada kepesatan ekonomi gig.
Ekonomi gig dijangkakan akan terus kekal berada di dalam pasaran dan akan menjadi sebahagian model ekonomi yang wujud atas dasar ‘kecemasan’, contohnya di kala pandemik atau krisis ekonomi.
Sesetengah sektor dalam ekonomi gig tidak memerlukan pekerja untuk mempunyai kemahiran atau kelayakan akademik tertentu. Mereka juga menikmati waktu kerja anjal dan bebas untuk memilih jenis pekerjaan.
Pada masa sama, ekonomi gig boleh menawarkan pulangan kewangan tinggi dalam masa singkat kerana pekerja boleh menyalurkan perkhidmatan mereka kepada lebih daripada hanya satu cabang dan penyedia platform dalam ekonomi gig.
Berbekalkan kecanggihan teknologi dan inovasi, penyedia platform gig dapat menyediakan banyak lagi peluang pekerjaan, sekali gus boleh mengurangkan masalah pengangguran pasca pandemik Covid-19.
Majikan juga berpeluang mengurangkan kos operasi dan kos latihan, selain menjadikan syarikat atau perusahaan menjadi lebih efisien melalui peningkatan produktiviti dan keuntungan.
Pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mana-mana penyedia platform dalam ekonomi gig dapat menjimatkan masa, mengurangkan kos pengangkutan dan pergerakan serta mendapat perkhidmatan dikehendaki dengan cepat.
Jelas terbukti, ekonomi gig adalah suatu model ekonomi memberikan banyak manfaat kepada pekerja, penyedia platform dan pelanggan.
Namun mutakhir ini, banyak isu-isu timbul ekoran status pekerja gig yang tidak membolehkan mereka diiktiraf sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955.
Pelbagai masalah timbul di antara tiga penjuru dalam ekosistem ekonomi gig ini iaitu penyedia platform, pekerja dan pelanggan yang mendapatkan khidmat melalui penyedia platform tersebut.
Kebajikan mereka tidak dijaga, contohnya ada pekerja membuat penghantaran makanan dengan menggunakan motosikal dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Malangnya tiada insurans khusus untuk melindungi mereka, dan tiada peruntukan untuk menyelenggarakan kenderaan yang ditunggangi. Ramai di kalangan mereka terasa dianiaya dan terbeban, namun ada yang terpaksa meneruskan bekerja demi kelangsungan hidup yang mendesak.
Di sini, wujudnya keperluan untuk mengiktiraf mereka di sisi undang-undang berdasarkan kepada komponen ekonomi gig yang dipilih dan dipayungi oleh suatu akta baharu.
Akta pekerja gig yang lebih terperinci seharusnya diadakan untuk melindungi kebajikan mereka, lebih-lebih lagi komponen ketiga melibatkan penyedia platform dan pekerja yang mempunyai risiko lebih tinggi, jika dibandingkan dengan komponen pertama dan kedua.
Pengiktirafan ini selaras dengan hak-hak asasi kemanusiaan yang perlu ditekankan, sekurang-kurangnya meliputi keselamatan sosial, rawatan kesihatan dan keselamatan tempat kerja.
Oleh yang demikian, perlunya ada undang-undang sebagai garis panduan di antara kedua-dua pihak agar kepentingan mereka dapat dijamin dan turut menguntungkan kedua-duanya termasuk pelanggan.
Garis panduan yang baharu dapat membantu merangsang ekonomi sedia ada, selari dengan ciri-ciri masyarakat Madani yang tidak hanya mementingkan diri sendiri, namun mengambil kira persekitaran di sekelilingnya juga.
*Dr Nurhidayah Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang- Undang, Universiti Malaya dan Felo di Universiti Malaya Centre of Regulatory Studies (UMCoRS)
Klik di sini untuk terus membaca