SHAH ALAM - Saranan supaya calon bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos ini mengisytiharkan harta adalah wajar jika mahu mewujudkan persekitaran atau tadbir urus yang telus dan berintegriti. Kata penganalisis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Saranan supaya calon bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos ini mengisytiharkan harta adalah wajar jika mahu mewujudkan persekitaran atau tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Kata penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran, amalan tersebut bukan saja dapat membuktikan keseriusan calon bertanding tetapi juga melahirkan sebuah negara bersih dan bebas rasuah.

"Pengisytiharan tidak hanya perlu selepas seseorang itu menjadi wakil rakyat dan kemudian dilantik sebagai menteri atau exco. Sebaliknya perlu bermula dari awal, iaitu apabila seseorang itu dipilih sebagai calon dan membuat keputusan bertanding.

"Kita memerlukan pemimpin menjadi contoh yang baik. Kalau kekayaan mereka diperoleh menerusi saluran yang betul dan penuh berintegriti, apa salahnya?” katanya kepada Sinar Premium.

Manimaran
Manimaran

Beliau yang juga anggota Pasukan Teras Rasuah Busters berkata, selain membuktikan ketelusan, pengisytiharan harta oleh calon bertanding juga dapat membantu rakyat membuat pertimbangan terbaik sebelum mengundi.

"Pengundi berhak mengetahui jumlah aset dimiliki calon sebelum menjadi calon dan selepas menjadi wakil rakyat, bukan setakat latar belakang moral seseorang. Ia bukan sahaja akan memanfaatkan calon, tetapi juga parti diwakili.

"Keperluan ini juga bukan sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Ini kerana banyak parti dan gabungan, malah calon bebas, dalam tawaran atau janji mereka semasa beberapa PRN sebelum ini, dan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu telah menjanjikan tadbir urus yang baik dan telus,” katanya lagi.

Data SPR mengikut pecahan umur bagi PRN enam negeri yang berlangsung pada 12 Ogos depan.
Data SPR mengikut pecahan umur bagi PRN enam negeri yang berlangsung pada 12 Ogos depan.

Tambah Manimaran, adalah baik sekiranya semua calon bertanding dalam PRN kelak membuat pengisytiharan harta dan kemudiannya dimaklumkan kepada orang ramai menerusi laman sesawang parti masing-masing.

Ditanya sama ada amalan pengisytiharan harta perlu diwajibkan kepada semua parti, Manimaran berkata, satu undang-undang khusus perlu diwujudkan ke arah memenuhi matlamat tersebut.

"Dalam kebanyakan masa, kita memerlukan undang-undang bertulis, jika tidak, tiada pihak yang akan patuh.

"Jadi, perkara ini juga harus dimasukkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya ataupun dalam Akta Sumbangan Politik yang sedang dikaji untuk digubal,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi PRN dan diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata, lebih 9.73 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel berkata, amalan pengisytiharan harta dalam kalangan calon bertanding pilihan raya mencerminkan kematangan berpolitik dan mewujudkan amalan bebas rasuah.

Hamdan
Hamdan

"Molek jika setiap calon mengisytiharkan harta walaupun bukanlah satu kewajipan dan ia juga menjadi bonus bagi pengundi untuk melihat ketelusan pemimpin yang bakal dipilih.

"Pengundi dapat membuat perhitungan calon mana yang terbaik apabila yakin dengan kredibiliti calon,” katanya.

Ujar beliau, tiada sebarang kerugian jika calon mengisytiharkan harta sebaliknya usaha murni tersebut harus disokong demi kebaikan bersama.

"Kita juga dapat mengelakkan situasi rumah telah siap, tetapi pahat masih berbunyi jika awal-awal lagi calon bertanding mengisytiharkan harta masing-masing,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca