SHAH ALAM - Negeri Selangor bakal menjadi ‘medan perang’ paling sengit pada pilihan raya negeri (PRN) nanti, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh firma penyelidikan, Endeavour-MGC pada 12 hingga 18 Jun lalu.
Menurut dapatan dilakukan ke atas 1,068 responden Melayu yang telah mendaftar sebagai pengundi di negeri itu, didapati Pakatan Harapan (PH) memperoleh 42 peratus sokongan manakala Perikatan Nasional (PN) ‘mengejar’ dengan 33 peratus undi.
Kajian itu juga mendapati, Barisan Nasional (BN) ditempat ketiga dengan 15 peratus sokongan pengundi Melayu.
Bagaimanapun dengan PH dan BN bakal 'bergabung' dalam PRN enam negeri kali ini, jumlah yang dijangka diperoleh jajaran tersebut mencecah 57 peratus.
Dalam kajian itu juga, parti yang bakal menjadi 'third force' dalam PRN kali ini iaitu Muda mendapat satu peratus sokongan sementara sembilan peratus responden menjawab tidak tahu memberi undi kepada parti mana.
Kumpulan sembilan peratus itu dijangka memainkan peranan besar dalam penentuan calon atau parti yang akan menang di Selangor nanti.
'Poster boy' Selangor
Mengenai siapa yang layak mentadbir negeri Selangor sebagai menteri besar sekiranya PH memenangi paling banyak kerusi PRN, seramai 75 peratus responden dilihat yakin terhadap pentadbiran Datuk Seri Amirudin Shari sepanjang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu menerajui kerajaan negeri.
Laporan itu turut membuat tinjauan individu paling sesuai menjadi Menteri Besar Selangor selepas PRN dan 46 peratus orang Melayu bersetuju Amirudin perlu dikekalkan ke jawatan tersebut, manakala 24 peratus memilih bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Di samping Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bekas Ketua Pemuda UMNO itu, nama ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (10 peratus) serta bekas ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Azmin Ali dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut diundi (masing-masing enam peratus) sebagai individu paling sesuai menjadi Menteri Besar Selangor.
Tinjauan bertajuk ‘Tinjauan Pandangan Awam Melayu Selangor’ yang diperoleh hasil tinjauan selama tujuh hari itu melibatkan masing-masing 534 responden lelaki dan wanita Melayu di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jumlah tersebut merangkumi 45 peratus golongan B40 yang berpendapatan RM4,850 ke bawah; 40 peratus M40 (pendapatan RM4,850 hingga RM10,959) dan 15 peratus T20 (pendapatan RM10,959 ke atas).
Dalam pada itu, majoriti responden dalam kaji selidik tersebut juga memilih untuk memberi undi mengikut parti.
Sebanyak 61 peratus memilih untuk memangkah mengikut parti manakala 28 peratus mengikut calon dan tujuh peratus mengikut agama.
Klik di sini untuk terus membaca