SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berpandangan, Sinar Harian adalah contoh organisasi yang berjaya menyemarakkan perjuangan kebebasan media di negara ini dengan laporan berita yang bersifat neutral.
Katanya, pendirian yang dipegang akhbar itu seharusnya diterima baik semua pihak sebagai bukti media bukan corong propaganda pemerintah atau lidah rasmi pembangkang.
"Nampaknya banyak pihak, khususnya pimpinan politik masih terperangkap dengan mindset (pemikiran) lama bahawa akhbar yang menyokong adalah kawan, manakala yang kritikal (dalam laporan) mempunyai agenda tersendiri.
"Kita hidup dalam era yang berbeza sama sekali (berbanding sebelum ini). Kemajuan internet ditambah dengan pengaruh media sosial yang cepat tersebar memerlukan semua pihak menerima hakikat media harus bebas dan terbuka.
"Sinar Harian adalah bintang (akhbar) cemerlang dalam memastikan bersemaraknya kebebasan media di negara ini. Akhbar ini adalah salah satu pejuang media bebas sejak 17 tahun lalu,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas warkah terbuka Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli bertajuk 'Bukan mudah jadi akhbar neutral'.
Menerusi surat terbuka itu, Zamri mengakui sejak kebelakangan ini akhbar berkenaan menerima serangan bertalu-talu segelintir pemimpin, penyokong dan juga cybertrooper parti politik.
Sinar Harian katanya, turut diserang dengan pelbagai label kononnya 'penyokong' parti politik tertentu, malah pengasas Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub difitnah pernah menjadi pengarang Harakah.
Laporan bertepatan prinsip RWB
Pandangan sama turut disokong Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya yang berkata, pendirian bebas dan neutral akhbar yang dimiliki Kumpulan Karangkraf itu juga bertepatan dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi kebebasan kepada media untuk menegur dan mengkritik kerajaan sepenuhnya dengan cara berhemah.
Ujarnya, Sinar Harian turut memainkan peranannya sebagai 'perakam peristiwa' dan majlis saksama kepada parti-parti politik dan juga kepada suara-suara lain rakyat yang tidak mendapat perhatian akhbar dan portal berita lain.
"Saya yakin kehadiran Sinar Harian serta organisasi media lain yang telah mengambil pendirian editorial bebas inilah telah membantu ranking Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Reporters Without Borders (RWB) bagi tahun 2023 yang meletakkan kita pada tangga 73 berbanding 103 pada tahun 2022.
"Tidak syak lagi sebagai sebuah organisasi media, Sinar Harian telah memainkan peranannya sebagai jagawan estet keempat dengan baik sekali menepati kehendak yang setanding dengan prinsip-prinsip dianjurkan oleh RWB,” katanya.
Beliau berharap, Sinar Harian tidak gentar dalam meneruskan dasar editorial yang bersifat neutral, meskipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kecaman dan teguran keras pihak-pihak yang tidak memahami erti kebebasan media.
Ini kerana katanya, akhbar ini mempunyai tugas lebih besar untuk melahirkan masyarakat bermaklumat bagi menjadikan warga Malaysia sebagai individu cerdik dalam membuat keputusan politik dan bukan politik dalam kehidupan harian mereka.
Polisi keterbukaan
Sementara itu, penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, Dr G Manimaran berkata, masyarakat khususnya pemimpin politik perlu bersikap terbuka untuk menerima perubahan industri media yang tidak terikat kepada pihak tertentu dalam membuat sesuatu laporan berita.
Beliau yang juga bekas pengarang akhbar berkata, dakwaan Sinar Harian bersifat berat sebelah atau cenderung kepada pihak tertentu tidak sewajarnya dibangkitkan kerana ia bukan cerminan sebenar.
"Sinar Harian dengan tagline Telus dan Tulus telah memberi ruang kepada semua pihak sebenarnya bukan sahaja melalui laporan akhbar tetapi platform lain seperti pentas wacana, Sinar Live dan sebagainya.
"Jadi, saya melihat akhbar ini sememangnya bersikap neutral. Polisi keterbukaan ini perlu dikekalkan bagi menjadikan masyarakat Malaysia lebih matang dalam menerima sesuatu laporan berita,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca