NEW DELHI - India sedang berdepan krisis tomato berikutan harganya telah meningkat enam kali ganda sejak awal Jun lalu. Masalah itu memaksa pemerintah untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan harga buah tomato tersebut kekal stabil.... Klik di sini untuk terus membaca

NEW DELHI - India sedang berdepan krisis tomato berikutan harganya telah meningkat enam kali ganda sejak awal Jun lalu.

Masalah itu memaksa pemerintah untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan harga buah tomato tersebut kekal stabil.

Harga tomato biasanya hanya kira-kira 30 (RM1.70) hingga 40 rupee (RM2.27) sekilogram, namun ia telah mencecah 200 rupee (RM11) sekilogram di beberapa bahagian di negara Asia Selatan tersebut malah ada yang menyaksikan peningkatan harga lebih 400 peratus.

Keadaan itu dikhuatiri boleh mencetuskan inflasi makanan malah resipi tanpa menggunakan tomato seperti sambar atau dahi aloo turut menjadi topik hangat di media sosial.

Golongan berpendapatan rendah adalah yang paling terjejas krisis tersebut.

*
Pengguna media sosial turut berkongsi resipi 'sambar' tanpa menggunakan tomato.

"Saya hanya memasukkan sebiji tomato dalam kari ikan berbanding tiga biji sebelum ini. Begitu juga dengan beberapa menu lain yang tidak lagi menggunakan tomato. Saya berharap harganya akan turun tidak lama lagi,” kata tukang masak dikenali sebagai Dilruba di New Delhi.

Paling memeranjatkan, krisis itu telah mencetuskan insiden ‘rompakan’ tomato melibatkan sebuah trak membawa 2,000 kilogram bekalan itu yang dilarikan tiga lelaki setelah mereka membelasah seorang petani.

Harga tomato di India biasanya meningkat pada bulan Jun hingga Ogos kerana jarak musim tuaian.

Tetapi, gelombang haba ekstrem pada minggu akhir Jun dan ketibaan hujan monsun pada Julai serta serangan virus di beberapa ladang pertanian di negeri Karnataka, Maharashtra dan Himachal Pradesh telah menjejaskan bekalan hingga menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga.

Harga kentang dan bawang dilaporkan masih stabil buat masa ini.

Penulis ruangan pertanian, Devender Sharma berkata, pencatutan (keuntungan tinggi yang tidak munasabah) sedang berlaku.

"Peniaga juga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sayuran lain seperti kubis bunga dan cili meningkat kira-kira 10 hingga 20 peratus,” ujarnya.

Menyedari bahaya kenaikan harga makanan, pemerintah telah mengumumkan Tomato Grand Challenge bagi mendapatkan ‘idea inovatif’ tentang kaedah untuk menstabilkan harga dan membantu petani mendapatkan keuntungan daripada hasil mereka.

Antara idea yang dianggap boleh diterima pakai seperti penanaman varieti dengan jangka hayat yang lebih lama, menambah baik pengangkutan produk segar dan cara pembungkusan serta penyimpanan yang inovatif.

Serangan virus di ladang pertanian tomato antara penyebab kekurangan bekalan itu di New Delhi.

Bahaya utama kenaikan harga tomato adalah impaknya kepada inflasi yang membabitkan produk ‘sensitif’.

Pemerintah cuba meredakan kebimbangan ramai dengan mengumumkan harga tomato akan turun dalam masa terdekat, namun ia tidak memberikan anggaran masa yang tepat.

Sementara itu, peniaga percaya tempoh selama tiga bulan diperlukan untuk memastikan harga dan bekalan tomato kembali normal.

"Ia hanya akan membangkitkan lagi kemarahan pengguna yang kini berdepan kenaikan harga makanan akibat inflasi.

"Saya terpaksa menjual tomato hasil tuaian saya untuk harga kurang daripada 2 rupee (11 sen) sekilogram kepada pemborong.

"Tetapi, ia kemudiannya dijual 160 rupee (RM9) di pasaran. Saya sendiri tidak mampu untuk membeli sekilogram tomato di pasar,” kata Arvind Malik yang merupakan petani dari perkampungan Kheri Dabdalan di Haryana. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca