SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk calon parti yang dipilih bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan depan membuat pengisytiharan harta, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau sebaliknya berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk calon parti yang dipilih bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan depan membuat pengisytiharan harta, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau sebaliknya berkata, Majlis Syura Ulama Pas sudah cukup untuk membuat penilaian kelayakan calon.

Menurutnya, saranan pengisytiharan harta tersebut tidak perlu kerana yang lebih penting ialah calon dipilih mempunyai kelayakan dan keperibadian baik.

"Bagi Pas, apa yang penting dalam mendepani PRN pada 12 Ogos depan adalah menampilkan barisan calon yang boleh diyakini dan sedia berkhidmat kepada rakyat dan negara.

"Majlis Syura pula akan menilai kelayakan calon dari sudut syariat, manakala setiap calon yang menang akan dipantau oleh parti sendiri bagi memastikan mereka menjalankan amanah tugas yang diberikan dengan sebaiknya,” katanya kepada Sinar Premium.

Jelas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, saranan pengisytiharan harta juga bukan satu jaminan konkrit bahawa tidak akan berlakunya sebarang bentuk jenayah rasuah dan salah guna kuasa akibat pelbagai kelemahan peraturan manusia.

"Apa yang penting ialah kejujuran dan amanah seseorang pemimpin serta adanya pertimbangan dosa dan pahala dalam hidupnya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, segala keputusan untuk meletakkan syarat supaya calon parti itu perlu mengisytiharkan harta adalah tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan tertinggi.

"Kami patuh sahaja,” katanya ringkas ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

'Mungkin akan jadi alat senjata politik'

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman berpendapat, langkah pengisytiharan harta bagi calon bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini dikhuatiri boleh digunakan parti lawan sebagai senjata politik atau sabotaj.

Muhammad Faiz

Walaupun pengisytiharan harta dilihat sebagai satu langkah yang berintegriti oleh sesetengah pihak, namun ia juga boleh digunakan untuk tujuan tidak baik, katanya.

"Sabotaj boleh dan sentiasa berlaku dalam dunia politik sama ada secara halus atau terbuka. Contohnya, jika seseorang ahli politik pembangkang itu mengisytiharkan harta dan ternyata dirinya seorang yang kaya, pihak lawan akan cuba menghidu latar belakang pekerjaan dan perniagaannya.

"Lebih-lebih lagi jika perniagaan seseorang ahli politik tersebut terkait sebarang kontrak daripada kerajaan atau yang melibatkan kepentingan awam,” katanya kepada Sinar Premium.

Muhammad Faiz berkata, tiada jaminan saranan pengisytiharan harta boleh mencegah berlakunya korupsi di kemudian hari.

"Contohnya, tajaan pihak-pihak tertentu untuk ahli politik yang mana ia tidak akan termasuk dalam definisi hartanya untuk diisytiharkan kepada umum.

"Setakat ini tiada undang-undang yang melarang tajaan tersebut melainkan jika dapat dibuktikan wujudnya kepentingan tertentu antara pihak yang menaja dengan ahli politik tajaannya yang sedang berkuasa,” ujarnya.

Tambah beliau, setakat ini Bersatu yang bergabung di bawah koalisi Perikatan Nasional (PN) belum menerima sebarang arahan supaya calon yang bakal bertanding dalam PRN membuat pengisytiharan harta.

Klik di sini untuk terus membaca