ADALAH menjadi satu amalan baik korporat untuk mengadakan penilaian prestasi perniagaan untuk separuh pertama tahun yang dilalui. Ini bertujuan untuk mengetahui setakat mana strategi dan pelan tindakan telah mencapai matlamat mereka.
Di dalam proses penilaian ini, ada beberapa dimensi yang dinilai:
1. Pelaksanaan pelan, pencapaian serta ketepatan andaian-andaian dan unjuran yang menjadi asas perniagaan.
2. Sejauh mana usaha pemasaran berjaya memperkembangkan pasaran dan keberhasilan proses jualan?
3. Adakah rantaian bekalan kukuh dan operasi pengeluaran dan pengurusan cekap?
4. Sejauh mana pengurusan modal dan potensi insan membekalkan bakat-bakat mahir yang diperlukan oleh perniagaan?
5. Pencapaian dari segi kewangan seperti pendapatan, kedudukan kewangan dan aliran tunai.
6. Undang-undang dan peraturan baharu serta perubahan polisi kerajaan yang telah mempengaruhi perniagaan.
Setiap perniagaan boleh memilih untuk menilai lain-lain perkara selain dari apa yang saya gariskan di atas. Tak ada masalah. Kita tahu apa yang penting bagi perniagaan kita.
Biasanya setiap ketua jabatan atau unit yang berkenaan akan membentangkan analisis dan pemerhatian mereka dan ini akan dibincangkan bagi mengenal pasti faktor kejayaan, halangan dan juga sebab mengapa sasaran gagal dicapai.
Data-data dan fakta-fakta perlu dikongsi dengan ahli pasukan yang lain agar mereka juga boleh memberikan pandangan, terutamanya yang melibatkan jabatan dan unit lain.
Dalam membuat penilaian, kejujuran kepada data dan fakta adalah penting. Ini adalah kerana ia boleh menjadi pencapaian yang baik disebabkan faktor luaran yang tidak dijangka atau bukannya fokus perniagaan. Menerima hakikat ini akan mengelakkan pihak pengurusan berasa syok sendiri.
Perlu melihat perkara-perkara luar jangkaan atau pun ada kelemahan di dalam proses membaca pasaran di kala strategi dibentuk. Penambahbaikan di dalam proses ini tentunya akan meningkatkan kualiti strategi dan pelan tindakan untuk tempoh seterusnya.
Selepas apa yang telah berlaku dibincangkan, perlu dibincangkan pula apa yang dijangka akan berlaku di dalam enam bulan seterusnya. Dari aspek peluang, risiko dan juga tanggungjawab bagi menambah baik prestasi.
Elok sekiranya 5 pemacu perubahan ini dibincangkan:
1. Perubahan di dalam masyarakat dan pasaran.
2. Ekonomi.
3. Teknologi.
4. Alam sekitar.
5. Polisi kerajaan, undang-undang dan peraturan.
Jika ada pemacu-pemacu lain yang mempengaruhi perniagaan anda, bolehlah tambah di dalam analisa. Khilaf di dalam hal-hal ini adalah biasa di dalam pengurusan perniagaan.
Selepas pencapaian sebenar dianalisa, peniaga bolehlah menetapkan apa yang akan menjadi keutamaan di dalam enam bulan selanjutnya.
Oleh kerana persekitaran perniagaan adalah dinamik, proses penilaian prestasi seperti yang digariskan di atas amat penting. Ini membolehkan ahli lembaga pengarah dan pengurusan sedar akan kedudukan sebenar.
Seterusnya menerajui perniagaan mencapai matlamat yang disasarkan berdasarkan panduan dibentuk untuk tempoh seterusnya.
* Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.
Klik di sini untuk terus membaca