DUNIA media sosial tidak pernah kering dengan ciptaan aplikasi baharu. Secara tiba-tiba Threads, sebuah inovasi terkini ciptaan Meta meletup dalam dunia media sosial.
Aplikasi terbaharu itu menjadi perang terbesar antara dua personaliti iaitu Mark Zuckerberg dan Elon Musk.
Paling mengejutkan, Thread yang dicemuh pemilik Twitter, Musk – telah menarik 100 juta pendaftaran baharu hanya dalam masa empat hari.
Jelas sekali, Zuckerberg bijak memanipulasi semua kesilapan rentetan pelaksanaan sekatan diperkenalkan Musk menerusi peng-gunaan harian Twitter.
Berita sensasi tentang Threads dicetuskan oleh wartawan terkenal BBC News, Natalie Sherman yang berpangkalan di New York minggu lalu.
Zuckerberg menyifatkan Threads sebagai ‘aplikasi perbualan berasaskan teks’. Beliau percaya Threads umpama satu jawapan balas untuk menyaingi kehebatan Twitter yang kini telah mencapai 350 juta pengguna di seluruh dunia.
Meskipun peratusan pengguna Thread masih kecil berbanding Twitter tetapi penulis berpendapat ia satu petanda Zuckerberg berupaya memujuk pengguna media sosial sedia ada menerusi Facebook, Instagram dan WhatsApp untuk segera memiliki Threads.
Penulis melihat Threads memiliki beberapa kelebihan spesifikasi ciri-ciri seperti tempoh video lima minit berbanding dua minit 20 saat di Twitter, manakala Post Length sebanyak 500 characters berbanding 200 characters di Twitter.
Threads juga mempunyai fasiliti verification yang tidak dimiliki Twitter, selain berupaya menyunting siaran, terjemahan kepada bahasa berbeza, kemudahan bertukar akaun Threads dan siaran boleh dibuat melalui aplikasi di web atau platform lain.
Threads telah mengalahkan rekod dipegang aplikasi Open AI, ChatGPT dan berjaya disiarkan secara langsung menerusi aplikasi iOS Apple serta Android di lebih 100 negara seluruh dunia.
Laporan dikeluarkan KeyBanc Capital Markets 2023 menunjukkan Zuckerberg meraih jualan melebihi AS$117 bilion (RM544 bilion) dan AS$6 bilion (RM28 bilion) daripada aplikasi Threads yang sebahagiannya diperoleh menerusi jualan ruang pengiklanan.
Setakat ini, Threads telah berjaya mengatasi penjualan iklan dengan lebihan AS$1.5 bilion (RM7 bilion) berbanding Twitter. Kedudukan Twitter tercabar apabila ia hanya memperoleh AS$4.5 bilion (RM21 bilion) daripada penjualan ruang iklan tahun lalu.
Perseteruan Zuckerberg dan Musk tidak lengkap tanpa drama menarik. Peguam Musk telah menuduh Zuckerberg melakukan penyelewengan sistematik, sengaja dan menyalahi undang-undang rahsia perdagangan Twitter serta harta intelek lain ketika mencipta Threads.
Twitter mendakwa Zuckerberg telah mengupah bekas pekerja Twitter yang mempunyai hubungan terus kepada rahsia perdagangan Twitter dan maklumat sulit lain untuk mempopularkan Threads. Bagaimanapun, Meta telah menafikannya dakwaan itu.
Menelusuri jalan cerita Threads dan Twitter membuatkan penulis terkesima. Persoalannya, kenapa pakar teknologi maklumat atau kejuruteraan software di Malaysia tidak mampu menghasilkan atau mencipta aplikasi sehebat Threads atau Twitter.
Penulis juga ingin mengingatkan pemilik Threads agar mengutamakan privasi dan perlindungan data. Selain itu, kawalan pengguna membolehkan pemilik akaun memiliki pilihan mengawal pengalaman termasuk ketetapan privasi untuk disesuaikan dengan kandungan.
Perlu juga diwujudkan garis panduan dan dasar untuk menyederhanakan kandungan, memerangi ucapan kebencian, gangguan serta maklumat salah. Laksanakan mekanisme berkesan untuk melaporkan dan menangani pelanggaran etika dengan segera.
Keterangkuman dan kebolehcapaian terhadap reka bentuk aplikasi perlu dititikberatkan supaya inklusif serta boleh diakses pengguna pelbagai latar belakang.
Ketelusan dan keadilan algoritma juga perlu dihuraikan, selain memperincikan amalan pengiklanan beretika.
Kesimpulannya, sekalipun kagum dengan Threads, penulis masih menunggu aplikasi ciptaan anak tempatan.
* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca