SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap meneruskan tradisi parti itu mewajibkan semua calon mereka yang bertanding pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan supaya mengisytiharkan harta.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, tradisi tersebut adalah bagi menjunjung prinsip ketelusan dan profesionalisme dalam berpolitik.
Beliau berkata, langkah tersebut juga demi membuktikan calon yang ditampilkan PKR mempunyai kredibiliti, kualiti serta mampu memberikan yang terbaik untuk rakyat.
"Seperti yang dimaklumkan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, PKR akan tetap meneruskan prosedur pengisytiharan harta untuk calon yang dipilih bertanding dalam PRN di enam negeri pada bulan depan. Ia sama seperti yang pernah disyaratkan kepada calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Selain itu, calon yang terpilih juga perlu menandatangani bon ikrar setia sekiranya berjaya dipilih menjadi wakil rakyat,” katanya kepada Sinar Premium.
Pada 6 Julai lalu, Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR menegaskan, calon parti itu yang dipilih untuk bertanding dalam PRN perlu menandatangani bon ikrar setia sebagai wakil rakyat dan mengisytiharkan harta mereka.
Pada PRU15 lalu, PKR mensyaratkan semua calon yang bertanding di bawah tiket parti tersebut membuat pengisytiharan harta mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.
Sementara itu, Chean Chung berkata, inisiatif pengisytiharan harta bagi calon yang bertanding dalam pilihan raya memberi kelebihan dari segi meningkatkan keyakinan dalam kalangan pengundi.
"Apabila calon membuat pengisytiharan harta, ini bermakna tiada apa yang mahu disembunyikan daripada pengundi, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan rakyat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca