SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) yakin mampu memenangi semua kerusi yang ditandingi parti itu sekali gus membantu Kerajaan Perpaduan menang di Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.
Pengarah Komunikasi BN Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, ia kerana berlaku peningkatan momentum sokongan rakyat kepada kerajaan gabungan PH-BN ketika ini selepas jentera parti kerajaan giat turun padang mendekati pengundi.
Katanya, keyakinan itu juga berdasarkan keputusan kaji selidik firma penyelidikan Endreavour-MGC yang menunjukkan jajaran Pakatan Harapan (PH)-BN memperoleh sokongan 57 peratus pengundi.
"Saya setuju dengan kaji selidik ini yang mendapati BN mendapat sokongan 15 peratus pengundi sebab keputusan sama juga kami peroleh daripada tinjauan yang dilakukan.
"Tapi saya yakin jumlah sokongan kepada BN ini akan bertambah dari semasa ke semasa terutama selepas kita umumkan senarai calon yang bertanding pada penamaan calon 29 Julai ini.
"PH-BN juga telah memuktamadkan pembahagian kerusi namun ia masih belum dapat diumumkan tetapi saya amat berkeyakinan BN akan menang 100 peratus kerusi yang kami tandingi,” katanya kepada Sinar Harian.
Muka depan akhbar ini pada Jumaat melaporkan Selangor bakal menjadi ‘medan perang’ paling sengit pada PRN akan datang berdasarkan kaji selidik yang dilakukan ke atas 1,068 responden Melayu oleh firma penyelidikan Endeavour-MGC.
Menurut dapatan tersebut, gabungan PH mendapat 42 peratus sokongan diikuti Perikatan Nasional (PN) di kedudukan kedua dengan 33 peratus, manakala BN memperoleh 15 peratus.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Selangor itu menjelaskan, PH juga sememangnya mempunyai banyak kelebihan sendiri yang boleh menarik sokongan pengundi kerana telah memerintah sejak tiga penggal lalu.
"Kalau lihat dapatan kaji selidik yang disiarkan Sinar Harian ini, kita lihat ia selari dengan sokongan dan respon daripada rakyat yang kita lihat di lapangan.
"Sokongan kepada Kerajaan Perpaduan ini nampaknya sangat padu kerana mencapai 57 peratus kerana saya ketika pentadbiran Perdana Menteri sebelum-sebelum ini, sukar untuk sesebuah kerajaan untuk capai tahap kepuashatian pengundi sampai 57 peratus,” ujar beliau.
Menurutnya, hasil kajian daripada beberapa firma penyelidikan lain seperti Institut Darul Ehsan dan Merdeka Centre serta beberapa risikan juga menunjukkan gambaran yang sebegitu.
"Jadi saya harap apa yang dinyatakan dalam kaji selidik ini menjadi kenyataan kerana kita mengharapkan sebuah kerajaan yang mendahulukan denyut nadi rakyat,” katanya.
Trend sokongan
Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berpandangan, keputusan kaji selidik itu tidak mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku di lapangan kerana sokongan yang ditunjukkan kepada Perikatan Nasional (PN) ketika ini sebenarnya cukup luar biasa melebihi sokongan yang diterima pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
"Daripada program yang kita buat di lapangan ketika ini, kita yakin bukan sahaja akan dapat sokongan pengundi lebih 33 peratus malah kita akan dapat ambil alih kerajaan negeri.
"Seperti yang diumumkan sebelum ini oleh pemimpin PN, kita sasarkan sekurang-kurangnya untuk menang 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,” jelas beliau.
Katanya, trend sokongan rakyat ketika ini dilihat banyak dipengaruhi oleh faktor isu semasa terutama isu kos sara hidup tinggi yang gagal ditangani kerajaan yang memberi kelebihan kepada PN untuk menang.
Klik di sini untuk terus membaca