NANTERRE - Kematian remaja Perancis, Nahel Merzouk yang ditembak mati seorang anggota polis pada 27 Jun lalu telah mencetuskan kemarahan golongan belia.
Ia turut menyebabkan masalah lebih parah terhadap isu perkauman, selain dakwaan kekejaman pihak berkuasa di negara tersebut.
Di jalan-jalan kawasan perumahan Pablo Picasso di Nanterre, tempat tinggal Nahel menyaksikan kereta hangus, tong sampah dibakar dan lukisan grafiti yang menyeru keadilan kepada remaja berketurunan Algeria dan Maghribi itu.
"Lazimnya orang sama iaitu orang kulit hitam dan Arab menjadi sasaran polis selain golongan di kejiranan kelas sederhana.
Sementara itu, rusuhan berhubung kekejaman polis berlangsung di bandar-bandar seluruh Perancis dan membawa kepada penahanan sekurang-kurangnya ribuan orang.
Lebih 300 pegawai polis cedera dalam tempoh tiga hari pertama tunjuk perasaan yang terburuk dalam tempoh dua dekad di negara itu.
Bandar raya Paris, Marseille dan Lyon adalah antara lokasi yang paling terjejas akibat rusuhan, rompakan dan kerosakan harta benda dan hampir menyaksikan perintah darurat dilaksanakan.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Gérald Darmanin berkata, hari kelima protes lebih senyap kerana ‘tindakan tegas’ pegawai penguat kuasa undang-undang.
Susulan rusuhan ganas itu, Perdana Menteri, Elisabeth Borne telah mengerahkan 45,000 anggota polis dan anggota bomba di seluruh Perancis.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut membatalkan lawatannya ke Jerman berikutan rusuhan tersebut dan anggota polis yang didakwa menembak mati Nahel ditahan untuk siasatan lanjut. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca