MINGGU lalu, ruangan ini menyentuh tentang bacaan awal pola pengundian orang Melayu dalam enam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Memandangkan fenomena ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan perubahan undi orang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) begitu mengejutkan, ia diramal berterusan dalam PRN.
Namun begitu, melihat pola pengundian orang Melayu ketika PRU15 sahaja boleh dianggap tidak lengkap tanpa turut melihat angkubah kedua yang menyumbang kepada fenomena tersebut iaitu undi pengundi muda.
Undi pengundi muda terutamanya kelompok Undi18 dan pengundi pertama kali antara faktor yang membawa keberuntungan PN memenangi kerusi-kerusi di kawasan Melayu serta menerobos kubu-kubu UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Ketika PRU15, kemampuan PN untuk menangkap ruang imaginasi dan persepsi kelompok ini membuahkan hasil. Mengapa begitu?
Pertama, kemampuan PN menggunakan media sosial terutamanya aplikasi TikTok serta media sosial yang lain ketika berkempen dengan kreatif dan berkesan.
Kedua, kegagalan semua parti termasuk PN untuk memahami hasrat dan kemampuan pengundi ini secara mendalam dengan menyangka mereka senang dipengaruh dan sudah ada pilihan tetap; suatu yang sudah dibaiki oleh semua parti ketika ini walaupun PN lebih mendepaninya dalam keadaan yang tidak disangka ketika PRU15.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 9,773,571 pemilih layak mengundi pada PRN 12 Ogos depan membabitkan pengundi berusia 21 hingga 29 tahun yang mencatat seramai 2,169,120 (22.19 peratus), diikuti pengundi berusia 30 hingga 39 tahun iaitu seramai 2,163,982 orang (22.14 peratus).
Bagi pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun pula, statistik merekodkan golongan terbabit adalah seramai 661,905 orang atau 6.77 peratus.
Membaca sentimen pengundi ini sangat penting, sukar dan mencabar. Perkiraan bahawa peratusan pulang atau keluar mengundi rendah, di samping kemungkinan berlaku ketepuan undi akar umbi kepada parti-parti bertanding akan menyebabkan pemindahan undi (vote transfer).
Kemungkinan undi pindah berlaku secara marginal atas beberapa faktor (boikot, protes, undi rosak), maka mengharapkan undi teras (core vote) membantu parti untuk menang adalah sangat berisiko.
Perkara inilah yang berlaku ketika PRU15. Contoh terbaik ialah kawasan seperti Parlimen Permatang Pauh yang mana PN menang kerana faktor undi pengundi muda ketika BN dan PH mendapat undi teras yang sama seperti PRU14.
Undi teras mungkin boleh diperoleh dan dikawal oleh parti masing-masing. Setiap parti jelas tahu dan ada kaedahnya tersendiri. Namun kelompok muda berbeza.
Kelompok ini adalah pengundi atas pagar dan jalur tengah, tidak berparti, tidak terikat dengan budi dan tanpa bebanan realiti. Namun mereka tetap pengundi berharga yang sukar didekati berbanding pengundi akar umbi.
Pertama, mereka tidak minat untuk rapat dan terputus fizikal dengan kegiatan politik yang tradisional – kempen, rapat parti dan sebagainya. Kalau ada pun hanya ikut-ikutan berkonvoi ramai-ramai. Itu pun sebab ikut kawan dan diganjar supaya segar.
Dengan perubahan pasca PRU15, sentimen pengundi muda juga dijangka berubah selaras dengan sifat kelompok ini yang dinamik dan progresif.
Persoalannya, apakah mereka kembali menjadi kelompok tengah yang taktikal selepas memerhatikan perubahan berlaku ataupun mereka masih bersikap lalang sepertimana PRU15 lalu.
Yang jelas, pengundi muda akan sekali lagi menjadi penentu PRN selain sentimen pengundi Melayu. Dengan jangkaan pengundi Melayu masih kuat untuk PN, undi pengundi muda mungkin kembali terbuka untuk direbutkan.
Siapa juga yang menguasai undi kelompok ini berpotensi untuk menang PRN.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca