WALAUPUN telah berada satu kedudukan ekonomi yang amat mantap di dunia, namun China terus-menerus mencapai kemajuan baharu dalam revolusi renewable energy atau teknologi tenaga boleh diperbaharui (RE). Akhbar The Guardian di England... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN telah berada satu kedudukan ekonomi yang amat mantap di dunia, namun China terus-menerus mencapai kemajuan baharu dalam revolusi renewable energy atau teknologi tenaga boleh diperbaharui (RE).

Akhbar The Guardian di England baru-baru ini mengeluarkan satu laporan mengenai status kemajuan RE. Laporan tersebut berpandangan, China kini berada jauh ke hadapan dari segi tahap kemajuan industri RE di dunia.

Global Energy Monitor (GEM), sebuah organisasi bukan kerajaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, menerusi satu laporan turut mengakui bahawa pada tahun 2025, kapasiti penghasilan tenaga solar dan tenaga angin di China melipat ganda sehingga 1,200 gigawatt.

Menurut laporan GEM, sehingga suku pertama tahun 2023, penghasilan tenaga solar di China untuk sektor utiliti awam mencapai 228 gigawatt, melebihi jumlah kapasiti penghasilan tenaga solar seluruh dunia.

Infrastruktur penghasilan tenaga solar di China banyak tertumpu di wilayah utara iaitu di Shanxi, Xinjiang dan Hebei.

Dengan penambahan kapasiti penghasilan tenaga RE pada tahap 40 peratus daripada jumlah kapasiti dunia, tahap tersebut juga merupakan tiga kali ganda daripada jumlah kapasiti Amerika Syarikat dan dua kali ganda benua Eropah.

Menurut majalah The Diplomat yang diterbitkan di Amerika Syarikat, saranan dan sokongan yang dilakukan kerajaan China sejak dua tahun lalu terhadap industri RE telah menambah kerancakan kemajuan industri tersebut.

Dengan inisiatif baharu dan pelaburan susulan yang dilakukan di wilayah Inner Mongolia, XinJiang, Gansu dan kawasan-kawasan persisiran pantai, China kini menyasarkan objektif untuk menambah penghasilan 371 gigawatt pada tahun 2025 iaitu peningkatan hampir separuh daripada jumlah kapasiti dunia bagi RE angin.

Peningkatan dan kemajuan yang dicatatkan China dalam industri RE kini dipantau rapat negara-negara Barat kerana tahap pencapaian tersebut meletakkan China di satu situasi amat strategik dalam persaingan industri teknologi RE dunia.

Menurut perangkaan terkini, batu arang masih merupakan sumber tenaga utama dalam matriks penggunaan tenaga di China, namun pada masa sama, China juga berjaya merekodkan kemajuan yang amat memberangsangkan dalam industri RE hasil usaha kajian dan pembangunan teknologi serta komitmen menambah pelaburan baharu dalam sektor RE bagi menambah kapasiti penghasilan tenaga angin dan solar.

Pandangan pakar dari Eropah berpendapat bahawa kemajuan yang China kecapi dalam teknologi dan kapasiti tenaga solar dan angin merupakan satu indikator penting posisi dan persediaan China dalam berhadapan dengan matriks tenaga RE sedunia, di mana menerusi tindakan realistik, China meletakkan dirinya sebagai negara pemimpin yang mendahului negara-negara lain dalam pelaburan di sektor RE.

Dengan disokong dasar-dasar domestik yang merangsang pertumbuhan sektor RE dalam negara seperti pemberian insentif dan pemantauan rapat terhadap syarikat-syarikat yang terlibat dalam sektor RE, kerajaan China memastikan pembangunan sektor RE adalah satu hala tuju industri yang mencabar tetapi selamat untuk disertai.

Yang pasti, ia mencetus satu sinergi penting dalam mengurus hal ehwal alam sekitar dan perubahan iklim dunia.

* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.

Klik di sini untuk terus membaca