SHAH ALAM - Peluang Perikatan Nasional (PN) merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti sukar jika mereka hanya bergantung kepada segmen pengundi Melayu serta isu bangsa, agama dan institusi diraja... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peluang Perikatan Nasional (PN) merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti sukar jika mereka hanya bergantung kepada segmen pengundi Melayu serta isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) untuk meraih undi.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, biarpun PN dikatakan menguasai lebih 50 peratus undi Melayu di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, namun hampir mustahil mereka menang semua 34 kerusi majoriti Melayu dalam PRN kali ini.

Menurutnya, ini kerana masalah utama PN di Selangor sekarang ialah mereka terlalu memberi tumpuan kepada 34 kerusi majoriti Melayu sahaja.

Parti Gerakan pula dalam kedudukan paling lemah dan tidak mampu membantu PN meraih kemenangan di mana-mana kerusi majoriti pengundi campuran dan bandar ditandinginya di Selangor yang kebanyakannya kini dikuasai PH sekarang.

Menurut Hisommudin, PN juga sukar menang di Selangor kerana segmen pengundi Melayunya mempunyai laras pemikiran atau psikografi lebih terbuka dan tidak sama seperti pengundi di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kini menjadi kubu kuatnya.

"Faktor dinamika politik yang berlaku selepas PRU15 terutama pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai PH dan Barisan Nasional (BN) juga menjadi cabaran besar kepada PN untuk melepasi angka majoriti mudah iaitu 29 kerusi DUN dan mengambil alih kerajaan negeri Selangor pada PRN nanti,” ujarnya.

Kemenangan

Katanya, faktor lain yang menentukan kemenangan PN di Selangor ialah sokongan pengundi anak muda dan golongan atas pagar.

Bagaimanapun, beliau berkata, situasi PN sekarang semakin tertekan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu 3R semasa kempen PRN nanti.

Menurutnya, sekatan dikenakan SKMM termasuk tindakan menyahturunkan hantaran di akaun TikTok oleh penyokong PN menyebabkan kempen 3R di alam maya dikuasai pembangkang tidak lagi setajam semasa PRU15 dulu.

"Kalau semasa PRU15 lalu medium TikTok dikuasai sepenuhnya oleh bahan kempen dibuat oleh pempengaruh yang cenderung kepada PN, namun buat masa ini tiada.

"Saya mencari juga akaun yang pempengaruh pro PN yang tular semasa PRU15 lalu namun kebanyakannya sudah dinyahaktifkan sama ada oleh pemiliknya sendiri atau pihak berkuasa kerana menyentuh isu 3R,” ujar beliau.

Hisommudin juga menjelaskan kesilapan PH-BN semasa PRU15 lalu adalah tidak menumpukan kepada kempen media sosial terutama TikTok sekali gus menyebabkan mereka kurang mendapatkan sokongan golongan muda dan pengundi baru berusia 18 tahun.

Klik di sini untuk terus membaca