PADA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), negara menyaksikan fenomena 'Gelombang Hijau' yang dahsyat apabila Perikatan Nasional (PN) menguasai majoriti undi Melayu dan memenangi hampir dua pertiga undi popular di Kelantan. Ini... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), negara menyaksikan fenomena 'Gelombang Hijau' yang dahsyat apabila Perikatan Nasional (PN) menguasai majoriti undi Melayu dan memenangi hampir dua pertiga undi popular di Kelantan.

Ini menunjukkan bahawa pengaruh Pas yang menjadi salah satu parti komponen PN kekal berbisa di negeri Che Siti Wan Kembang itu sejak tahun 1990.

Biarpun secara tradisinya Kelantan digelar sebagai kubu kuat Pas sejak 33 tahun lalu, Barisan Nasional (BN) masih berupaya memenangi lapan daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Antaranya adalah DUN Kok Lanas, Bukit Bunga, Gual Ipoh, Air Lanas, Kuala Balah, Nenggiri, Paloh dan Galas yang mana kebanyakan lokasi tersebut mempunyai lebih 90 peratus penduduk Melayu.

Justeru, biarpun Pas selesa dengan kemenangan besar di Kelantan, gabungan BN bersama Pakatan Harapan (PH) diunjurkan masih mempunyai peluang untuk menang sekurang-kurangnya tiga kerusi DUN di Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Dalam kehangatan umum memperkatakan ‘Gelombang Hijau’ dan PRN, ia hanya menyentuh tentang kebangkitan politik Melayu-Islam dalam konteks PN.

TIGA KERUSI HARAPAN BN-PH

Berdasarkan dapatan sebuah badan pengkaji bebas, The Elections Lab, tiga kerusi yang menjadi harapan BN-PH di bawah payung Kerajaan Perpaduan di Kelantan pada PRN akan datang adalah DUN Galas, Nenggiri dan Kota Lama.

Sekiranya data keputusan PRU15 dijadikan sandaran, DUN Galas diunjurkan mampu dipertahankan koalisi BN-PH sekiranya undi gabungan parti Kerajaan Perpaduan itu diambil kira mengikut pecahan kawasan.

Pada PRU14, calon BN, Mohd Syahbuddin Hashim menang dengan majoriti sebanyak 1,931 undi yang mana BN mendahului sebanyak 8,955 undi diikuti PN (7,024), PH (3,310) dan parti-parti lain (202).

Maka, gabungan undi BN-PH sebanyak 12,265 di DUN Galas pada PRU15, diunjurkan bakal memberi kemenangan kepada parti itu dengan jangkaan majoriti 5,241 undi, hanya sekiranya kadar peratusan keluar mengundi dikekalkan pada 67 peratus.

Dengan taburan penduduk Melayu sebanyak 59 peratus di DUN Galas, BN-PH dipercayai mampu menguasai sokongan pengundi kaum lain sebanyak 92 peratus berbanding PN dengan tujuh peratus, menurut kajian statistik daripada The Elections Lab.

Mengulas mengenai peluang BN-PH menawan DUN Kota Lama, meskipun DUN itu tidak tersenarai antara lapan kerusi DUN yang dimenangi BN mahu pun PH pada PRU14 lalu, undi campuran gandingan BN-PH pada PRU15 mampu menjadi ‘game changer' di kawasan tersebut.

Ini kerana berdasarkan kajian data The Elections Lab, campuran undi BN-PH sebanyak 11,958 mampu mengalahkan PN yang mendahului 8,987 undi di DUN Kota Lama dengan majoriti sebanyak 2,971, jika peratusan keluar mengundi kekal pada 64 peratus sebagaimana PRU15.

Antara penyumbang terbesar kemungkinan gabungan BN-PH boleh menang di DUN Kota Lama adalah tahap sokongan pengundi bukan Melayu sebanyak 87 peratus berbanding Melayu dengan 41 peratus.

Dalam pada itu, DUN Nenggiri juga berpotensi dimenangi BN-PH dengan majoriti tipis dengan kajian The Elections Lab mengunjurkan koalisi itu bakal memiliki kelebihan 52 undi sahaja berbanding PN sekiranya undi PRU15 diambil kira.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik masih berpandangan kerusi DUN berkenaan bersifat '50-50' susulan dinamika gabungan BN-PH masih baharu terbentuk dan belum kukuh sepenuhnya.

Perkara ini dipengaruhi oleh faktor 54 peratus pengundi Melayu memberi sokongan kepada PN pada PRU15 berbanding BN-PH yang hanya menerima 46 peratus.

Bagaimanapun, The Elections Lab menjangkakan tahap sokongan pengundi kaum lain di kawasan Nenggiri menunjukkan hasil yang positif kepada BN-PH dengan sokongan 92 peratus.

Selain pengaruh sokongan pengundi Melayu, PN juga mempunyai kelebihan daripada segi sentimen pengundi muda atau kali pertama dalam lingkungan 18 sehingga 40 tahun yang menjadi sebahagian besar pengundi di negeri-negeri utara semenanjung.

Mereka yang dikatakan ‘terpikat’ dengan perjuangan PN melalui media sosial seperti TikTok bagaimanapun belum mempunyai kesetiaan politik yang kuat dengan angkubah pemilihan mereka masih dinamik dan berubah-ubah.

Tidak dinafikan, atas kertas BN kemungkinan besar bakal kehilangan enam kerusi di DUN Kok Lanas, Bukit Bunga, Gual Ipoh, Air Lanas, Kuala Balah dan Paloh yang dimenanginya pada PRU14 sekiranya fenomena Gelombang Biru Tua dan Hijau diambil kira pada keputusan PRU15.

Namun begitu, PN tidak boleh berlapang dada terlalu awal memandangkan terdapat beberapa kerusi DUN marginal yang diunjurkan mungkin dimenangi koalisi itu pada PRN Kelantan, namun bersandarkan undi majoriti tipis kurang daripada 1,500.

PELUANG TAMBAH DUA DUN

Salah satunya adalah DUN Paloh yang mana kajian The Elections Lab mengunjurkan kemenangan PN hanyalah sebanyak 1,028 undi, diikuti DUN Kemuning yang dijangkakan mencatatkan majoriti tipis sebanyak 1,205.

Oleh itu, tidak mustahil kerusi-kerusi ini berpotensi dimenangi koalisi BN-PH, sekiranya kadar sokongan pengundi merosot sehingga mencapai angka seperti PRN Johor dan Melaka, iaitu sekitar 53 hingga 55 peratus sahaja.

Kesimpulannya, di sebalik jangkaan PN mampu menang besar dan mengulangi pencapaian menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen negeri Kelantan, masih terdapat beberapa faktor dan kelompongan yang memungkinkan koalisi BN-PH mencipta 'upset' pada medan perang PRN negeri yang paling sengit dalam sejarah politik negara setakat ini.

Klik di sini untuk terus membaca