"APA tujuan anda ke mari?” tanya pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa O R Tamboo, Johannesburg, Republik Afrika Selatan pada Khamis lalu sebaik sahaja saya menyerahkan pasport kepadanya untuk disemak. "Menghadiri persidangan... Klik di sini untuk terus membaca

"APA tujuan anda ke mari?” tanya pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa O R Tamboo, Johannesburg, Republik Afrika Selatan pada Khamis lalu sebaik sahaja saya menyerahkan pasport kepadanya untuk disemak.

"Menghadiri persidangan di University of Pretoria,” jawab saya ringkas. Saya menunggu sama ada dia meminta surat undangan yang saya terima dari universiti berkenaan atau tidak untuk mengesahkan sama ada kedatangan saya adalah seperti dinyatakan.

Saya juga sudah menyediakan salinan tiket penerbangan pulang ke Kuala Lumpur jika dia ingin melihatnya.

Namun, kedua-dua dokumen itu tidak diminta, malah tidak bertanya di mana saya menginap semasa berada di Pretoria atau berapa banyak mata wang rand yang saya bawa bersama.

Pegawai imigresen itu membelek pasport saya, kemudian mendongak sedikit untuk melihat wajah saya bagi memastikan foto dalam dokumen perjalanan itu sebenarnya adalah saya.

Setelah didapati betul, dia menyemak nama dalam komputernya untuk memastikan sama ada saya tersenarai sebagai orang yang tidak dibenarkan masuk ke Afrika Selatan.

Proses pemeriksaan secara manual itu mengambil masa tidak sampai lima minit. Tiga rakan wartawan dari Indonesia yang turut menghadiri persidangan sama juga dibenarkan masuk ke Johannesburg tanpa banyak songeh daripada petugas imigresen.

Lalu terdetik di hati saya, kalaulah seorang pelancong wanita warga China yang ditahan pihak imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak mempunyai dokumen lengkap datang melancong ke Afrika Selatan, dia tiada masalah untuk dibenarkan masuk ke Johannesburg.

Seorang menteri Afrika Selatan tidak perlu berkejar ke lapangan terbang untuk melepaskan pelancong wanita berkenaan dan memarahi pegawai imigresen seperti dilakukan seorang menteri di Malaysia.

Cuma pelancong China itu memerlukan visa, manakala saya tidak kerana Malaysia dan Afrika Selatan sama-sama menganggotai Komanwel iaitu organisasi negara-negara yang pernah dijajah. Orang Malaysia boleh datang ke Afrika Selatan tanpa visa untuk tempoh 30 hari.

Johannesburg yang saya kunjungi untuk kali kedua adalah pusat komersial terkemuka di Afrika Selatan dan seluruh benua Afrika. Ia terletak bersebelahan Bandaraya Pretoria yang merupakan ibu negara dan pusat pentadbiran Afrika Selatan.

Malah, boleh dikatakan Afrika Selatan pasca Nelson Mandela yang meninggal dunia pada 5 Disember 2013 di kediamannya di Johannesburg ialah sebuah negara yang berkeyakinan tinggi di pentas dunia.

Legasi Mandela yang menjadi presiden pertama dipilih menerusi pilihan raya umum oleh warga kulit putih dan kulit hitam negara itu pada 10 Mei 1994 bertahan sehingga kini.

Institusi pemerintahan yang beliau wujudkan telah memberi kestabilan politik kepada negara tersebut.

Sebelum itu hanya orang kulit putih yang boleh menjadi presiden.

Hal itu kerana sistem aparteid diamalkan di Afrika Selatan sehinggalah Mandela dibebaskan daripada menjalani hukuman penjara seumur hidup pada 7 Disember 1988, hanya membenarkan pemimpin kulit putih mempunyai legitimasi untuk menjadi presiden.

Walhal, ia adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang berkulit hitam.

Aparteid yang ditentang kuat masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia adalah sistem politik yang memisahkan penduduk kulit putih daripada kaum kulit berwarna yang lain.

Sistem aparteid diperkenalkan pada 1948 untuk membolehkan orang kulit putih yang minoriti kekal berkuasa dan memeras kekayaan hasil bumi Afrika Selatan untuk kepentingan mereka.

Pemansuhan bertahap sistem yang menafikan hak politik penduduk kulit hitam pada 1991 telah membolehkan penduduk majoriti kulit hitam diwakili seorang presiden daripada kaum mereka.

Tentunya Mandela telah memainkan peranan instrumental dalam menguburkan sistem aparteid. Harga yang beliau harus bayar adalah meringkuk dalam penjara selama 27 tahun.

Namun, pengorbanan beliau itu telah memberi kebaikan bukan sahaja kepada sistem politik dan penduduk di Afrika Selatan tetapi memberi inspirasi kepada kaum tertindas di negara lain untuk mendapatkan hak mereka.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Klik di sini untuk terus membaca