MASYARAKAT Islam sering merungut atas kegagalan untuk melaksanakan perintah mahkamah syariah. Sebenarnya undang-undang telah memperuntukkan beberapa kaedah atau tatacara bagi melaksanakan sesuatu perintah di mahkamah syariah. Namun, mungkin... Klik di sini untuk terus membaca

MASYARAKAT Islam sering merungut atas kegagalan untuk melaksanakan perintah mahkamah syariah.

Sebenarnya undang-undang telah memperuntukkan beberapa kaedah atau tatacara bagi melaksanakan sesuatu perintah di mahkamah syariah.

Namun, mungkin akibat kurang pengetahuan dalam tatacara tersebut menyebabkan keadilan ditagih itu tidak kesampaian kepada pihak yang telah memenangi litigasi di mahkamah syariah.

Kegelisahan itu amat difahami kerana setelah beberapa kali keluar masuk mahkamah bagi membuktikan tuntutan, menghadiri perbicaraan termasuk disoal selidik oleh peguam dan membayar kos serta perbelanjaan guaman mencecah ribuan ringgit, mereka masih tidak dapat menikmati kejayaan tuntutan tersebut.

Perkara itu amat merumitkan terutama kepada wanita yang telah mendapat perintah nafkah atau hadanah. Mereka perlu meneruskan hidup tetapi perintah nafkah diperoleh dari mahkamah syariah tidak dapat dikecapi.

Syukur ketika ini kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif bagi memperbaiki keadaan itu seperti mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga dan lain-lain.

Melihat pengalaman di luar negara, misalnya Australia telah mewujudkan Child Support Authority – matlamat penubuhannya adalah untuk menyediakan perkhidmatan bagi mendapatkan hak saraan dan nafkah kanak-kanak.

Louisiana Department of Social Services pula memberi perkhidmatan, antara lain mengesan ibu bapa dan waris kanak-kanak, menguatkuasakan perintah serta membuat kutipan bagi pembayaran nafkah kanak-kanak.

Beberapa tempat lain juga telah mewujudkan badan seumpama itu, antaranya Dublin (Family Support Agency), Kanada (Canadian System of Support Enforcement) dan Missouri (Child Support Enforcement Agency).

Beberapa negeri lain di Amerika Syarikat seperti Delaware dan Florida juga mempunyai badan serupa, manakala Jerman serta Maghribi telah menubuhkan Family Support Authority.

Berdasarkan pengalaman itu, Malaysia juga perlu mempertingkatkan Bahagian Sokongan Keluarga menjadi agensi atau badan khusus berperanan memastikan pelaksanaan perintah berjalan dengan teratur.

Antara tugas yang boleh dimainkan oleh agensi sokongan keluarga ialah:-

1. Membantu mendapatkan perkhidmatan dan nasihat perundangan dalam hal berkaitan nafkah serta saraan kanak-kanak dan ibu tunggal.

2. Melaksanakan tugas bailif di mahkamah bagi memastikan semua perintah mahkamah dipatuhi.

3. Mengurus dan mentadbir bantuan yang diperoleh daripada baitulmal, jabatan agama Islam, kerajaan dan baan/orang persendirian.

4. Menyelaras perintah mahkamah iaitu bekerjasama dengan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), imigresen, bank dan majikan.

5. Melaksanakan perintah bersaling luar negara dan di dalam negara.

6. Menjejaki pihak gagal patuh perintah mahkamah dan tidak beri nafkah.

7. Mengawal selia pengurusan nafkah dan saraan.

8. Menjadi badan pemegang amanah dalam kes-kes mahkamah memerintahkan perlu pemegang amanah dilantik.

9. Menyediakan alternatif lain bagi menyelesaikan masalah saraan dan nafkah kanak-kanak serta ibu tunggal.

Agensi sokongan keluarga di peringkat kebangsaan juga mampu menangani kerenah birokrasi dan masalah undang-undang serta prosedur berbeza antara negeri-negeri bagi umat Islam di Malaysia.

Justeru, sudah tiba masanya Malaysia mempelajari pengalaman dari luar bagi memastikan kebajikan umat Islam terjamin. Pengalaman tersebut sebenarnya adalah baik dan tidak bertentangan dengan undang-undang Islam.

Perkhidmatan itu juga boleh dipanjangkan kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia.

Sering juga apabila sesuatu isu berkaitan kekeluargaan Islam, sebahagian masyarakat menuding jari menyalahkan mahkamah syariah dalam hal kelewatan dan ketidaklaksanaan perintah.

Mahkamah syariah tidak harus dipersalahkan kerana ia hanyalah pelaksana dasar diputuskan oleh kerajaan dengan kuasa yang telah diberikan.

Mahkamah syariah tidak berkuasa untuk berbuat sesuatu di luar bidang kuasanya. Oleh itu, dengan adanya agensi sokongan keluarga yang lebih berfokus, tohmahan terhadap mahkamah syariah akan dapat dihakis dan tiada lagi rungutan dalam pelaksanaan perintah mahkamah berkenaan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Klik di sini untuk terus membaca