PERTARUNGAN dua sosok politik, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri pastinya akan bertambah menarik. Sejak setahun lalu,... Klik di sini untuk terus membaca

PERTARUNGAN dua sosok politik, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri pastinya akan bertambah menarik.

Sejak setahun lalu, Muhammad Sanusi selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas telah mencuri tumpuan dengan pelbagai kenyataan dan kritikan keras terhadap Anwar, sementara Anwar juga membalas dengan jalur politik keras serta kasar.

Mereka bukan sahaja bertukar sindiran sinis dan kritikan keras pada sidang akhbar serta ucapan politik, malah turut bertarung ‘ganas’ di mahkamah.

Anwar memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi, mendakwa ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu dalam satu kempen ceramah Jelajah PN Best Tambun berbaur fitnah.

Muhammad Sanusi membalas semula saman dengan memohon mahkamah untuk menentukan persoalan undang-undang, sama ada sesuatu pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong di bawah kuasa yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berupaya mengetepikan sabitan jenayah.

Perbalahan terbuka antara mereka mungkin kerana kedua-duanya membesar dalam jalur politik yang keras. Seolah-olah satu kebetulan luar biasa, ketika Anwar dilahirkan pada 1947, Muhammad Sanusi pula dilahirkan pada 1974.

Kedua-duanya mempunyai jalur politik penuh liku perjuangan jalanan. Anwar membesar pada zaman politik sosialis dan Islam di Universiti Malaya. Era demonstrasi dan politik keras.

Apabila menyertai UMNO pada 1982, Anwar mula mempamerkan sedikit kehalusan politik dan meletakkan dirinya dalam kelompok politik intelektual. Anwar melegarkan imej bersama kumpulan pemikir, sasterawan dan agamawan besar.

Jika Anwar membesar dengan usrah Angkatan Belia Islam Malaysia, Muhammad Sanusi telah membesar dengan usrah Pas. Kebetulan juga zaman politik Muhammad Sanusi pada usia 20-an mengikuti jalur keras Anwar.

Tahun 1998 dan seterusnya adalah zaman demonstrasi reformasi pimpinan Anwar. Muhammad Sanusi adalah sebahagian aktivis Pas yang membantu perjuangan reformasi.

Kedua-duanya datang dari sebelah utara Semenanjung yang agak terkenal dengan lenggok bahasa penuh sarkastik dan bernada agak kasar.

Anwar dari Ceruk Tok Kun, Pulau Pinang utara, sementara Muhammad Sanusi dari Sik, Kedah. Ceruk Tok Kun bukanlah benar-benar pedalaman seperti Sik. Hanya nama memberi gambaran sedemikian.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan dialek dan ucapan di kawasan utara Semenanjung itu, anda mungkin akan mendapati bahasa digunakan dua tokoh itu kadangkala tampak kasar dan biadab.

Walaupun kasar, ucapan Anwar agak lebih halus berbanding Muhammad Sanusi. Pengalaman Anwar yang berpuluh tahun dalam politik membolehkan beliau mengadaptasi dan berasimilasi dengan khalayak.

Anwar boleh menjadi kasar dalam ucapan jalanan dan menjadi ahli politik budiman pada majlis yang memerlukannya.

Selebihnya, Anwar membesar dalam keluarga elit politik Melayu ketika itu dan mendapat pendidikan terbaik negara termasuk di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang menjadi pusat kelahiran tokoh-tokoh terbilang negara.

Muhammad Sanusi pula lahir dalam keluarga miskin dan mendapat pendidikan sekolah seperti rakyat biasa, malah dalam ucapannya, beliau tidak malu mengakui ‘orang ulu’ yang sedikit kasar.

Ketika Anwar mempunyai kelebihan ilmu politik daripada keluarga dan naungan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Sanusi tidak melalui pengalaman sebanyak itu.

Satu-satunya pengalaman berharga beliau ialah menjadi Setiausaha Politik kepada Tan Sri Azizan Abdul Razak ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar Kedah.

Pastinya kita akan terus menonton ‘drama’ politik dua pemimpin politik ini buat beberapa lama lagi.

Bagi Muhammad Sanusi, beliau masih muda. Masa akan mematangkannya. Mungkin beliau perlu kurang bercakap dan lebih banyak bekerja selepas PRN nanti. Bagi Anwar, kehadiran Muhammad Sanusi sebagai nemesis baharu beliau mungkin satu deja vu.

Pada era 1990-an dan awal 2000, Anwar punya seorang nemesis bernama Sanusi – Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid – juga berasal dari Kedah dan pernah menjadi Menteri Besar Kedah.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar).

Klik di sini untuk terus membaca