APABILA Bank Negara Malaysia (BNM) galak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR), kerajaan tidak masuk campur dalam urusan bank pusat itu. Antara tugas asas BNM ialah memacu pertumbuhan ekonomi dan mengawal inflasi. Cetak duit dan kawal... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA Bank Negara Malaysia (BNM) galak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR), kerajaan tidak masuk campur dalam urusan bank pusat itu.

Antara tugas asas BNM ialah memacu pertumbuhan ekonomi dan mengawal inflasi.

Cetak duit dan kawal jumlah mata wang dalam edaran, itu kerja mudah. Kalau boleh semua gabenor mahu turunkan tanda tangan atas duit kertas baharu.

Dari sudut pertumbuhan kasar, kita boleh kata ekonomi kita sihat. Misalnya, dalam suku pertama tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada kadar 5.6 peratus.

Ia lebih rendah daripada 7.1 peratus pada suku tahun sebelumnya, namun masih boleh dikira baik dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.

Serentak itu, inflasi reda kepada 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, inflasi makanan masih tinggi dengan kadar 5.9 peratus pada Mei walaupun reda daripada 6.3 peratus bulan sebelumnya.

Di pihak lain pula, dasar BNM mengenai OPR telah mula mempamerkan kesan negatif terhadap pengguna, khususnya yang meminjam daripada sistem perbankan.

Media massa melaporkan semakin ramai peminjam tidak lagi mampu membayar balik hutang terutama yang meminjam untuk membeli hartanah.

Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham) melaporkan penyenaraian hartanah untuk dilelong meningkat 20 peratus sejak OPR mula dinaikkan Mei tahun lalu.

Ia melaporkan sejak November, bank-bank telah memperkenalkan prosedur bagi mendapatkan perintah lelong awam dari mahkamah atau pejabat tanah.

Hal itu telah dijangkakan susulan kenaikan OPR. Peningkatan OPR melonjakkan kadar pinjaman perumahan dan ansuran bulanan.

Tambahan pula, ramai peminjam hilang kerja akibat pembekuan ekonomi ketika pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain tetapi berkaitan, rizab antarabangsa BNM dilaporkan jatuh ke bawah paras AS$100 bilion (kira-kira RM450 bilion) bulan lalu.

Sebahagiannya dikatakan berpunca daripada percubaan Bank Negara mempertahankan nilai ringgit.

Rizab pada 30 Jun berjumlah AS$99.2 bilion (RM446.4 bilion) iaitu merosot sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.85 bilion) atau 1.1 peratus daripada bulan sebelumnya.

Kemerosotan rizab itu melemahkan lagi kadar tukaran ringgit yang jatuh kepada RM4.52 pada Jumaat lalu.

Sementara itu, adalah menggalakkan apabila mendapat tahu bahawa prestasi belanjawan dari sudut perbelanjaan berjalan lancar. Perbelanjaan kerajaan boleh membantu merangsang pertumbuhan ekonomi dan meringankan beban orang ramai.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, sebanyak RM188 bilion atau 49 peratus daripada peruntukan Belanjawan 2023 telah dibelanjakan sehingga Jun.

Namun, beliau tidak puas hati kerana kadar tersebut gagal mencapai matlamat 60 peratus seperti ditetapkan.

Dalam belanjawan tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM388.1 bilion berbanding RM332 bilion pada 2022 dan RM322 bilion pada 2020.

Kesimpulannya, setelah hampir lapan bulan menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, rakyat jelata yang faham ekonomi sudah mempunyai cukup masa serta maklumat untuk memperincikan prestasi beliau.

Hal itu menjadi bertambah penting kepada kewibawaan dan keupayaan beliau terus memerintah berikutan kedatangan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Walaupun PRN tidak boleh menjatuhkan atau mengubah kerajaan Pusat, namun boleh menjadi referendum atau pungutan suara ke atas Kerajaan Perpaduan.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Klik di sini untuk terus membaca