SHAH ALAM - Kos sara hidup di Malaysia yang lebih rendah berbanding negara lain selain kepelbagaian kaum dan keunikan budaya merupakan faktor utama Malaysia dipilih sebagai destinasi persaraan.
Bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, jika mengambil kira mata wang negara asing, sudah pasti terdapat perbezaan ketara apabila melibatkan kos sara hidup.
Menurutnya, bagi rakyat asing khususnya golongan berada dan berkemampuan, kos menetap di negara ini amat murah bagi mereka.
"Rakyat asing memilih untuk menikmati masa tua di negara ini tanpa risaukan keselamatan mereka memandangkan Malaysia sentiasa aman dan harmoni," katanya ketika dihubungi Sinar Ahad pada Sabtu.
Beliau berkata, rakyat Malaysia yang mesra dan boleh berbahasa Inggeris juga menjadi faktor penarik kepada golongan pesara.
"Ramai rakyat kita yang pandai berinteraksi dalam bahasa Inggeris yang memudahkan mereka untuk tinggal dan bergaul,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Malaya, Dr Nikmatul Adha Nordin berpendapat, harga rumah di negara ini lebih murah berbanding China dan ia menarik minat rakyat negara itu untuk menetap di Malaysia.
Katanya, pada kadar RM3,000 sebulan, mereka mampu menyewa kondominium yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan infrastruktur.
"Berbeza di negara China, penyewa hanya diberi rumah kecil tanpa sebarang kemudahan walhal harga sewanya sama. Itu untuk menyewa, beli rumah pun sama jadi pelaburan hartanah di negara ini lebih berbaloi.
"Bagaimanapun, kehadiran pesara dari negara luar ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya.
"Tidak dinafikan mereka juga menyumbang dan menjana ekonomi namun kita bimbang perbezaan budaya serta cara hidup akan memberikan kesan negatif kepada sosial masyarakat setempat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca