KUALA TERENGGANU - Selepas tujuh tahun penyu belimbing gagal membiak di Malaysia, kini negara bakal 'kehilangan' dua lagi spesies penyu iaitu karah dan lipas berikutan penurunan mendadak jumlah pendaratan haiwan itu untuk bertelur.
Dengan perkembangan semasa itu, dibimbangi pada masa akan datang negara hanya akan tinggal satu jenis penyu sahaja iaitu spesies agar pada masa akan datang.
Antara faktor yang akan menyebabkan kepupusan penyu di negara ini ialah hakisan pantai, pencemaran sampah sarap, cuaca panas dan perubahan iklim serta haiwan pemangsa, termasuk tindakan kejam nelayan asing yang membunuh penyu yang terperangkap dalam pukat turut menjadi ancaman besar kepada spesies tersebut.
Wartawan Sinar Harian yang mengikuti ekspedisi penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru) Chagar Hutang di Pulau Redang mendapati lebih 200 sarang penyu agar dihasilkan sejak dua bulan lalu di pantai berkenaan dan menetas dalam tempoh 45 hingga 70 hari.
Bagaimanapun, pemerhatian terhadap pendaratan 10 induk penyu untuk bertelur pada sebelah malam di pusat penyelidikan itu mendapati hanya melibatkan spesies agar sahaja tanpa ada sebarang tanda kehadiran penyu karah dan lipas.
Situasi itu membuktikan dua spesies tersebut semakin sukar ditemukan.
Menurut Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli, meskipun penyu belimbing, karah dan lipas belum diisytiharkan pupus namun negara berisiko tinggi untuk hilang sepenuhnya spesies tersebut.
"Pada tahun 2018, kita menjangkakan bilangan penyu yang akan mendarat dan bertelur merosot secara drastik dalam tempoh 10 tahun lagi menjelang 2028.
"Bagaimanapun, populasi penyu ketika ini khususnya spesies agar sedang menunjukkan pemulihan yang amat baik dengan peningkatan pendaratan sekitar 10 hingga 30 peratus setiap tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Mohd Uzair, pada ketika ini Malaysia masih mempunyai takungan genetik iaitu lokasi atau kawasan yang membolehkan spesies tersebut membiak.
Ujarnya, takungan genetik membolehkan penghasilan induk penyu yang mempunyai kepelbagaian tinggi, sekali gus membantu meningkatkan kebarangkalian untuk lari daripada dimakan oleh haiwan pemangsa ketika penyu itu masih kecil.
"Ini juga membuktikan kepentingan mempunyai kawasan penetasan yang banyak, yang dapat mendokong pertumbuhan dan kestabilan populasi penyu negara,” katanya.
Perubahan iklim, hakisan pantai
Dalam pada itu, ekspedisi penyelidikan tersebut turut mengunjungi salah satu kawasan penyu mendarat di Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu bagi melihat sendiri kesan teruk hakisan pantai akibat projek penambakan dan pembinaan benteng pemecah ombak yang menjejaskan pendaratan haiwan marin itu.
Menurut Mohd Uzair, perubahan iklim dan hakisan pantai merupakan dua aspek yang akan menjadi tumpuan penyelidik kerana kedua-dua faktor itu semakin membimbangkan apabila menyebabkan ketidakseimbangan kepada kitaran jantina penyu.
"Kesan daripada perubahan iklim mengakibatkan peningkatan paras air laut hinggakan pantai yang menjadi sarang penyu semakin kurang. Cuaca panas pula menghasilkan lebih banyak peratusan penyu betina berbanding jantan.
"Hakisan pantai juga antara isu yang merisaukan kerana berkait dengan ketidakupayaan pantai kita untuk menampung aktiviti persarangan penyu,” katanya.
Jelas beliau lagi, hakisan dan projek tambak pantai pula menyebabkan penyu terpaksa mencari pantai berpasir lain untuk bertelur.
Klik di sini untuk terus membaca