KUALA TERENGGANU - "Jangan bising-bising, nak beli telur penyu kena diam-diam,” kata seorang peniaga di sebuah pasar barang basah dan kering yang menjadi tumpuan ramai di sini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati penjualan telur penyu masih berlaku walaupun aktiviti berkenaan dilarang sejak tahun lalu.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit berdepan denda RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara setahun bagi kesalahan menjual telur dan mengganggu penyu.
Cubaan Sinar Harian untuk melihat telur penyu yang dijual itu membuahkan hasil apabila seorang peniaga wanita berusia lingkungan 50-an menunjukkan beberapa bungkusan yang diletakkan di bawah meja niaga.
Dianggarkan sebanyak 50 biji telur penyu dibungkus dalam dua lapis plastik berwarna merah dan hitam.
Peniaga terbabit mahu segera menjual dengan reaksi wajah sedikit gusar dan melarang sebarang gambar dirakam.
"Ramai lagi yang cari telur penyu, tapi tak ramai macam dulu. Itu sebab peniaga di sini kena jual juga, tak banyak tapi stok tak putus,” katanya.
Seorang lagi peniaga warga tempatan, wanita dalam lingkungan 30-an memaklumkan, peniaga mengehadkan penjualan antara 20 hingga 40 biji berbanding 100 biji sehari sebelum ini kerana bimbang kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
"Kalau ada pengunjung yang bertanya, baru kita jual dalam harga RM7 sebiji. Murah sikit dari dulu RM10 sebiji,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca