SHAH ALAM - Pencemaran sampah marin khususnya plastik berwarna hitam di pantai memberi ancaman yang boleh menyebabkan gangguan kepada proses pengeraman telur penyu di Terengganu sekali gus mengancam populasi penyu jantan.
Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, lebih 1.5 kilogram sampah dibuang oleh setiap 22.9 juta penduduk Malaysia yang menetap di pesisiran pantai pada setiap hari.
"Jaringan sejauh 244 kilometer dan 52 pantai bagi sarang penyu di Terengganu berdekatan Laut China Selatan telah diklasifikasikan sebagai salah satu kawasan tercemar dengan mikroplastik atau plastik kecil bersaiz kurang lima milimeter.
"Seterusnya dianggarkan kira-kira 0.14 hingga 0.37 juta tan metrik sampah pula dialirkan ke laut pada setiap tahun sama ada secara sengaja mahupun tidak.
"Ia sekali gus menjadikan Malaysia negara kelapan daripada 49 keseluruhan negara Asia penyumbang kepada pencemaran sampah marin,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Uzair berkata, perkara tersebut membimbangkan kerana plastik mempunyai keupayaan menyerap dan menyimpan haba yang lebih tinggi.
Jelasnya, ia akan memberi kesan buruk kepada penentuan jantina anak penyu yang dibuat melalui suhu pengeraman.
"Mikroplastik yang terdapat di sarang pengeraman telur penyu akan menjadikannya lebih panas khususnya yang berwarna hitam. Ia juga diketahui mampu menyerap haba dengan lebih tinggi.
"Lebih mengejutkan, plastik yang berwarna hitam paling banyak dijumpai dan mengukuhkan lagi kebimbangan kami,” ujarnya.
Beliau menambah, selain plastik, isu pemanasan global juga akan menyebabkan penghasilan induk jantan adalah sifar.
"Ini akan menyebabkan ketidakstabilan nisbah jantan kepada betina dalam populasi spesies terancam ini,” katanya.
Sehubungan itu, jelas Mohd Uzair, UMT telah mengambil inisiatif memulakan kajian garis data asas untuk menentukan kadar taburan pencemaran mikroplastik.
"Empat pantai sarang penyu terpilih dan didapati kawasan di utara Setiu lebih tercemar dengan sisa plastik berbanding Kerteh di selatan,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca