BERDASARKAN kepada input yang diterima melalui artikel penulis minggu lalu yang bertajuk 'Realiti sebenar peniaga di lapangan', ramai peniaga menghubungi penulis dan menyatakan mereka turut berdepan dengan situasi sama iaitu berlakunya kemerosotan pendapatan disebabkan oleh kekurangan pelanggan berbelanja di kedai atau premis perniagaan mereka.
Ada yang menyatakan kemerosotan pendapatan melebihi 50 peratus dan ada juga menyatakan mereka sukar memperoleh keuntungan RM50 sehari.
Ini bermakna, mereka juga sukar untuk memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan. Hal ini menyebabkan sebahagian peniaga tersebut berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Keadaan semasa pada ketika ini menyebabkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk menoktahkan kemiskinan tegar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, ramai peniaga pada ketika ini bergelut untuk meneruskan perniagaan masing-masing.
Terbaharu, terdapat juga yang dilaporkan oleh media berdasarkan tinjauan di lapangan mendapati ada medan selera yang mana sebahagian lot sudah tidak lagi dibuka kesan daripada kemerosotan pelanggan.
Dalam masa sama, ada yang menyatakan bahawa mereka masih perlu membayar pelbagai jenis pinjaman antaranya melibatkan pinjaman untuk perniagaan selain daripada pinjaman peribadi, kereta dan rumah.
Bagaimana peniaga dalam kategori ini dapat bertahan apabila perniagaan mereka merosot dengan ketara dan dalam masa sama mereka masih perlu membayar pinjaman sedia ada.
Baru-baru ini juga media melaporkan, ramai peniaga yang berhadapan dengan masalah kewangan bertindan dan menanggung jumlah hutang yang besar. Ada yang terpaksa menerima untuk diisytihar muflis disebabkan oleh terbelit dengan jumlah hutang yang jauh di luar kemampuan mereka untuk membayar.
Bak kata pepatah Melayu, malang tiada datang tunggal iaitu kesusahan yang datang bertimpa-timpa. Bukan sahaja kemerosotan perniagaan disebabkan oleh kekurangan pelanggan yang juga berkemungkinan berhadapan dengan pelbagai kekangan berbelanja, bahkan peniaga turut berhadapan dengan jumlah hutang yang terlalu tinggi.
Berdasarkan kesan pengambilan pinjaman ini, maka sudah sampai masanya rakyat Malaysia terutamanya golongan muda mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman termasuk pinjaman perniagaan serta berbelanja mengikut kemampuan.
Jalan keluar adalah dengan kembali kepada konsep ekonomi wasatiyyah iaitu ekonomi yang berteraskan kepada penekanan terhadap aspek pertengahan dan kesederhanaan.
Akhirnya, penulis ingin mengulangi semula cadangan untuk diperkenalkan semula inisiatif Geran Khas dan bantuan lain yang bersesuaian termasuk memperkenalkan semula moratorium bersasar bagi membantu peniaga dan pengusaha termasuk pengusaha gerai makanan sebagaimana yang telah diperkenalkan semasa berlaku krisis Covid-19.
Walaupun moratorium bersasar ini tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peniaga, namun sekurang-kurangnya ia dapat memberikan ruang dan masa kepada peniaga untuk bernafas, seterusnya membuat perancangan baharu dalam usaha mengenal pasti pendekatan yang bersesuaian dalam meneruskan perniagaan.
Sekurang-kurangnya moratorium bersasar boleh dilaksanakan antara tiga ke enam bulan untuk memberi ruang dan persediaan mental kepada peniaga kembali bernafas dan seterusnya membolehkan mereka mengimbangi semula perbelanjaan dengan pendapatan yang diperoleh pada ketika ini.
Dalam tempoh moratorium, ia dapat membantu peniaga menyusun semula pendapatan dan perbelanjaan agar selepas berakhirnya moratorium maka perbelanjaan termasuk bayaran balik pinjaman dapat dilaksanakan secara teratur dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Dalam jangka masa panjang, masalah yang dihadapi oleh ramai peniaga pada ketika ini memerlukan satu pelan tindakan yang khusus agar ia dapat membantu peniaga keluar daripada krisis kewangan dan tidak tergelincir menjadi miskin tegar.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca