Bagi Ahli Parlimen Taiping, WONG KAH WOH, tindakan pihak tertentu yang membangkitkan isu kaum, institusi raja-raja Melayu dan agama di negara ini boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat. Ketegasan kerajaan dalam menangani masalah itu... Klik di sini untuk terus membaca

Bagi Ahli Parlimen Taiping, WONG KAH WOH, tindakan pihak tertentu yang membangkitkan isu kaum, institusi raja-raja Melayu dan agama di negara ini boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat.

Ketegasan kerajaan dalam menangani masalah itu akan menentukan sejauh mana hubungan antara kaum di negara ini dapat terus dipelihara daripada dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan mereka.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, SAIFULLAH AHMAD menyelami hasrat serta pandangan wakil rakyat tersebut mengenai isu semasa negara dan tempatan.

SINAR HARIAN: Melihat keadaan negara ketika ini, apakah keutamaan yang perlu diberikan perhatian oleh pentadbiran kerajaan?

KAH WOH: Memang kita sedia maklum, fokus utama rakyat ketika ini adalah ekonomi. Bagi kerajaan, tanggungjawab utama kita adalah untuk memulihkan ekonomi dan membawa Malaysia keluar daripada gelombang kemerosotan ekonomi antarabangsa yang dihadapi kebanyakan negara ketika ini.

Kerajaan bukan sahaja perlu meningkatkan peluang pekerjaan sedia ada, namun pada masa sama perlu berusaha untuk memastikan kos sara hidup tidak akan terlampau tinggi. Apabila kita berbincang mengenai kos sara hidup dan pendapatan rakyat ada satu perkara lagi ialah berkaitan perumahan. Namun, usaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperbanyakkan rumah kos sederhana dan kos rendah membantu rakyat dalam memiliki rumah pertama idaman mereka.

SH: Dalam usaha memulihkan ekonomi, negara perlu dalam keadaan aman dan stabil. Bagaimana keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang di negara ini dapat dipelihara?

Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai pelbagai latar belakang agama dan budaya yang berlainan. Bagi saya, kepelbagaian kaum, budaya dan agama ini sepatutnya dijadikan satu kekuatan bagi negara kita melangkah ke hadapan.

Sekiranya kita tengok negara-negara bukan sahaja di Asia atau di seluruh dunia, tidak ada satu negara mempunyai keunikan seperti negara kita dan itu harus dijadikan kekuatan.

Tetapi malangnya, apa yang saya nampak selepas pilihan raya tahun lepas, isu perkauman dan agama tidak pernah terhenti daripada dipermainkan sesetengah pihak dan saya berharap kerajaan dapat beri penekanan terhadap isu ini dengan mengambil usaha yang gigih untuk memupuk semangat perpaduan antara kaum.

Kah Woh (kanan) sentiasa mengunjungi sekolah-sekolah di sekitar Parlimen Taiping untuk mengetahui keperluan sebelum menyalurkan peruntukan.
Kah Woh (kanan) sentiasa mengunjungi sekolah-sekolah di sekitar Parlimen Taiping untuk mengetahui keperluan sebelum menyalurkan peruntukan.

Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini menggunakan isu agama dan kaum sebagai peluru mereka dalam mengaut kepentingan politik semata-mata. Bagi saya, kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba mempermainkan isu-isu 3R iaitu menyentuh perkauman, institusi raja-raja Melayu dan agama. Saya percaya jika isu ini ditangani dengan tegas, kerajaan dapat fokus masalah-masalah utama yang lain.

SH: Bagaimana seseorang ahli Parlimen boleh berperanan membantu rakyat dan negara menyelesaikan sebarang permasalahan yang berlaku?

Tanggungjawab sebagai seorang ahli Parlimen merangkumi semua perkara. Di Parlimen kita terlibat dalam menggubal undang-undang dan hala tuju negara, bagaimana kita boleh membantu negara mewujudkan satu sistem yang baik atau pembaharuan institusi dari segi perundangan penguatkuasaan dari Parlimen.

Parlimen bukan sahaja berkisah tentang perbahasan ahli Parlimen, tetapi peranan mereka juga termasuk dalam jawatankuasa-jawatankuasa khas Parlimen yang diwujudkan seperti sebelum ini saya merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan tanggungjawab saya adalah lebih kepada menjalankan pelbagai siasatan di bawah bidang kuasa jawatankuasa ini. Begitu juga jawatankuasa-jawatankuasa khas Parlimen yang lain.

Ada ahli Parlimen yang berada di situ bertanggungjawab memantau pentadbiran kerajaan dan polisi kerajaan, apa yang kerajaan buat betul atau tak betul selain perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Sidang Parlimen.

SH: Berpindah ke kawasan Parlimen baharu, adakah sesuatu yang mencabar bagi seorang ahli Parlimen senior?

Apabila berpindah daripada kawasan Parlimen lain memang kita akan berdepan dengan cabaran yang baharu. Jika dahulu saya sebagai Ahli Parlimen Ipoh Timur, sekarang saya menjadi Ahli Parlimen Taiping.

Berbanding kawasan Ipoh Timur, Taiping merupakan bandar warisan yang unik, bukan sahaja di Perak tetapi bagi negara kita secara keseluruhan. Cabaran itu memang ada, walau bagaimanapun, saya bersyukur apabila mula bertanding di Taiping pasukan khidmat kita amat lengkap dan kuat hasil usaha gigih daripada Yang Berhormat Nga Kor Ming sebelum ini.

Sebab itu sebaik sahaja menang dan belum pun bentuk kerajaan, pusat khidmat kita terus memulakan operasi. Fokus saya di sini adalah sekolah kerana bagi kita, sekolah merupakan institusi yang amat penting untuk mencungkil bakat dan melahirkan generasi pimpinan akan datang.

Sebab itu apabila peruntukan disediakan kepada ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya bersama dengan ADUN-ADUN setempat telah melawat sekolah secara berperingkat dan kita cuba untuk memahami keperluan dan kita akan turunkan peruntukan mengikut permintaan yang selayaknya.

SH: Kita mengetahui bahawa bandar Taiping mempunyai pelbagai keunikan produk warisan, bagaimana bandar ini boleh dibangunkan tanpa menjejaskan produk-produk bersejarah itu?

Kita sedia maklum bandar Taiping ini merupakan bandar bersejarah unik kerana mempunyai koleksi sejarah sekurang-kurangnya terdapat 33 bahan atau monumen yang berstatus pertama di negara ini.

Ia termasuklah penjara yang pertama, stesen kereta api pertama, pasar awam pertama, perpustakaan pertama dan pelbagai lagi. Kesemua ini telah pun mempunyai sejarah mencecah 150 tahun dan pada tahun hadapan Bandar Taiping akan menyambut ulang tahun ke-150.

Ini membawa satu harapan tinggi daripada warga Taiping bagaimana kita boleh kembalikan semula nostalgia keunikan sejarah bandar Taiping.

Sebarang pembangunan yang hendak dibuat bergantung sama ada kawasan tersebut merupakan warisan sejarah. Jika ia terletak dalam kawasan warisan, semua pembangunan harus dibuat secara teliti bagi melindungi keunikan atau nilai sejarah yang ada.

Sebagai contoh pada 2019, Pasar Awam Taiping telah dibangunkan semula, namun terdapat struktur bangunan yang tidak boleh digunakan lagi dan pembinaan baharu terpaksa dibuat tetapi ciri-ciri asal masih dikekalkan bagi memastikan keunikan pasar awam pertama ini tidak hilang.

Kita juga ada bangunan bangunan lama yang terbiar dan usang di Bandar Taiping ini. Kita sedang berbincang dengan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk bangunan-bangunan lama ini yang amat bersejarah tidak dirobohkan begitu sahaja dan membina semula bangunan baharu.

Tanggungjawab kita adalah bagaimana untuk memastikan apabila kita buat pemulihan bangunan-bangunan tersebut Kita mampu untuk mengekalkan nilai-nilai sejarahnya.

Profil

Nama: Wong Kah Woh

Umur: 43 tahun

Asal: Bidor, Perak

Status: Berkahwin

Pendidikan tertinggi: Graduan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa

Jawatan:

1. Ahli Parlimen Taiping

2. Setiausaha DAP Perak

3. Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan

Klik di sini untuk terus membaca