SEPANJANG bulan Julai hingga September, United Kingdom (UK) terutama London menerima lebih ramai pelancong yang kebanyakannya hadir untuk majlis konvokesyen universiti.
Sebagai negara yang menjana sekitar £95 bilion setiap tahun dari sektor pengajian tinggi, terutama dari yuran pelajar antarabangsa, hal ini tidaklah begitu menghairankan.
Malah, majlis konvokesyen sepertinya sebuah festival kebudayaan yang mengumpulkan manusia dari serata dunia. Kita selalu berbangga melihat pelajar Malaysia hadir konvokesyen di negara barat dengan pakaian tradisional.
Namun sebenarnya, amalan ini bukanlah unik bagi pelajar Malaysia sahaja. Pelajar dari negara lain juga turut mengambil sama untuk hadir ke hari bersejarah mereka.
Dengan jumlah hadirin mencecah puluhan ribu bagi satu sesi, majlis konvokesyen juga menjadi satu industri yang amat menguntungkan di UK.
Berbanding universiti di Malaysia yang menguruskan majlis konvokesyen sendiri menggunakan staf dan sukarelawan dari kalangan pelajarnya, di sini, pihak universiti melantik syarikat pengelola untuk menguruskan majlis dari awal hingga akhir. Peruntukan pula datang daripada sewaan jubah, tiket masuk, gambar dan majlis minum petang.
Jubah lengkap disewa atau dibeli dengan harga sekitar £50 hingga £200. Untuk berjimat, mereka boleh memilih tidak menyewa topi konvokesyen.
Tiket pengiring paling murah adalah sekitar £10 hingga £50 seorang. Harga tiket jauh lebih mahal jika mahu duduk berdekatan pentas, sehingga boleh mencecah £100 hingga £200 seorang.
Dengan suasana dewan yang begitu gelap, adalah mustahil untuk mengambil gambar menggunakan kamera sendiri. Akhirnya, mereka terpaksa membeli gambar daripada jurukamera profesional yang dilantik.
Harga untuk muat turun sofcopy satu gambar adalah sekitar £25. Jika mahu mencetak gambar, harganya sekitar £50 hingga £200 sekeping. Keseluruhannya, graduan dengan jubah lengkap bertopi, dua pengiring dan sekeping gambar softcopy perlu berbelanja sekitar £200.
Ini tidak termasuk harga tiket penerbangan, kos penginapan, makan minum dan pengangkutan sepanjang berada di UK. Perbelanjaan keseluruhan pastilah mencecah belasan atau puluhan ribu ringgit.
Dengan belanja yang begitu mahal, pastilah mereka mengharapkan majlis konvokesyen yang begitu istimewa juga untuk dikenang. Apatah lagi ia adalah hari paling bersejarah buat semua.
Namun, bagi mereka yang pernah menyertai majlis konvokesyen di Malaysia, jangkaan ini sama sekali meleset. Meski kos yang dikeluarkan tak sebanyak mana, majlis konvokesyen kita jauh lebih meriah dan istimewa.
Ia dianjurkan dengan penuh adat istiadat dan mengikuti protokol majlis yang diatur sempurna. Graduan juga berasa begitu diraikan setelah bertungkus-lumus menamatkan pengajian masing-masing.
Sebaliknya di sini, majlis konvokesyen amat ringkas. Dewannya juga tidaklah dihias indah. Sudahlah perlu berasak dan beratur panjang masuk ke dewan, diberi tempat duduk yang kurang selesa terutama bagi tetamu veteran, mereka juga digesa keluar segera dari dewan setelah majlis tamat, bagi membolehkan sesi seterusnya berlangsung.
Jika nasib tidak baik, pengacara tersilap pula menyebut nama graduan yang naik ke atas pentas. Sehinggakan ada suara nakal berbisik "konvokesyen kanak-kanak tadika di Malaysia jauh lebih teratur dan meriah”.
Tapi mungkin ini hanya persepsi dan ekspektasi masing-masing saja kerana perbezaan dalam budaya dan amalan meraikan graduan. Bantahan terhadap kos konvokesyen yang tinggi dan penganjuran majlis ala kadar ini pernah dibuat, misalnya oleh Fiona Day, wakil pelajar University College London pada tahun 2015, namun nampaknya tidak berhasil.
Sebenarnya, tradisi majlis konvokesyen ini dimulakan di Eropah terutamanya England ketika zaman pertengahan. Pelajar yang tamat pengajian diraikan dengan ritual keagamaan yang penuh protokol dan gah oleh pihak gereja yang memerintah ketika itu.
Setelah keruntuhan institusi gereja dalam masyarakatnya, sistem pendidikannya juga menjadi sekular. Majlis konvokesyen turut dimodenkan. Kini, ia tidak lagi menjadi keutamaan pihak universiti. Kualiti, akauntabiliti dan integriti ilmuwan yang dilahirkan lebih penting bagi mereka.
Bagi kerajaannya pula, sektor pengajian tinggi perlu terus konsisten menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negaranya, termasuklah melalui 'industri konvokesyen'.
Jika ada yang berniat mahu ke UK mengikuti majlis konvokesyen dan sudah menabung begitu banyak untuk itu, janganlah begitu kecewa mendengar cerita ini. Kedatangan anda tetap dialu-alukan. Kita tak mungkin boleh mengubah bagaimana orang lain meraikan kita, tapi kita sendirilah yang mencipta momen indah untuk meraikan kejayaan kita sendiri.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca