SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengawal atau mengetatkan aliran nilai ringgit yang didagangkan bagi mengelakkan spekulator menyorokkan wang mereka di luar negara.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia disebabkan ketika ini perdagangan tukaran mata wang asing (forex) secara dalam talian menggunakan ringgit dan dolar Amerika Syarikat (AS) semakin berleluasa.
"Bila tidak dibenarkan, spekulator tidak boleh berdagang menggunakan ringgit. Sekarang ini, dalam perniagaan forex, mereka membeli ringgit dan dolar AS, itu masalahnya.
"Jika kita kawal daripada didagangkan, ia akan membantu meningkatkan nilai ringgit dan menyekatnya daripada dispekulasi. Sekarang ini orang dagang ringgit dan menyimpannya di luar negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, pakar ekonomi terkemuka, Profesor Jomo Kwame Sundaram berkata, kejatuhan nilai ringgit bukan disebabkan oleh asas ekonomi negara sebaliknya berpunca daripada spekulator 'berkuasa' dan pihak yang menyorok berbilion ringgit wang mereka di luar negara.
Tambah Aimi, antara langkah lain untuk meningkatkan kembali nilai ringgit adalah tidak menggunakan dolar AS dalam aktiviti perdagangan dengan negara luar.
"Apabila berdagang dengan negara lain, kita pakai mata wang negara itu dan negara kita. Contohnya, kalau dengan Indonesia, kita tengok rupiah dan hanya bandingkan dengan dolar AS. Jangan beli guna dolar AS.
"Walaupun tidak perlu beli atau jual guna dolar AS, tapi dari segi pertukaran itu, kita masih rujuk mereka. Tapi perkara ini memang sukar untuk dilaksanakan,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institusi Pembangunan dan Kemajuan Inklusif, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi berkata, spekulator mengaut keuntungan daripada aktiviti spekulasi yang berjaya dilakukan, terutama apabila jangkaan pihak berkenaan tepat tentang trend sesuatu kadar pertukaran atau bunga.
Ujarnya, meskipun langkah itu berisiko, namun pulangannya tinggi.
"Tidak dapat dinafikan spekulator juga memainkan peranan dalam mempengaruhi kadar pertukaran ringgit seperti yang berlaku ke atas kadar pertukaran semasa krisis kewangan Asia 1997.
"Tetapi agak sukar untuk menentukan berapa jumlah atau peratusan pihak spekulator terbabit dalam mempengaruhi kadar pertukaran.
"Ini kerana pergerakan kadar pertukaran bergantung kepada pelbagai faktor, antaranya perbezaan kadar bunga antara negara, sentimen pasaran, kestabilan politik, pencapaian ekonomi, imbangan pembayaran termasuk berkaitan permintaan dan penawaran pasaran," katanya.
Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing bagi membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan sejajar dengan mandat statutori bank pusat itu.
Ia berikutan perkembangan dalam pasaran kewangan yang menjejaskan kadar pertukaran asing ringgit.
Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, walaupun ringgit terus dipengaruhi oleh perkembangan global, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka pada julat 4.0 hingga 5.0 peratus di samping pembaharuan struktur dan penggabungan fiskal oleh kerajaan menjadi faktor yang menyokong nilai mata wang tempatan itu.
"Walaupun nilai ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, BNM menjangka langkah-langkah yang sedang dilaksanakan kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi akan membantu memastikan ringgit mencerminkan asas negara dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web BNM.
Klik di sini untuk terus membaca