KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Mengetahui populasi tiga daripada empat spesies penyu di Malaysia semakin menghilang, penulis diberi peluang untuk melihat habitat berkenaan dengan berkunjung ke Chagar Hutang, Pulau Redang, Terengganu.
Ekspedisi ini diketuai oleh Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli bagi membawa Sinar Harian meninjau kawasan mendarat dan bertelur haiwan marin berkenaan.
Jelajah ini dilakukan pada 22 dan 23 Jun lalu, perjalanan bermula dari Jeti Merang dengan menaiki bot ke Chagar Hutang mengambil masa kira-kira 45 minit.
Ketika sampai ke destinasi pada jam 12.45 tengah hari, penulis dapat melihat pesisiran pantai dipenuhi dengan penanda kayu menunjukkan sarang telur penyu yang dikumpul satu tempat dipanggil hatchery.
Ia dipindahkan disebabkan beberapa faktor antaranya terdedah kepada ancaman pemangsa atau terlalu dekat dengan akar pokok.
Selepas makan tengah hari, penulis dibawa melawat sekitar kawasan Unit Penyelidikan Penyu (Seatru).
Bak pepatah, sambil menyelam minum air, ketika juru foto Sinar Harian merakam suasana di pantai itu menggunakan dron.
Kita dapat merekodkan aksi dua ekor penyu jantan sedang berebut untuk mengawan dengan seekor betina di permukaan laut berhampiran pantai Chagar Hutang.
Meskipun hanya berada di sana selama dua hari, namun aktiviti yang disediakan Seatru sememangnya padat dan menyeronokkan.
Seterusnya, pada jam 6.50 petang, lebih kurang 40 ekor anak penyu dilepaskan oleh sukarelawan tetapi ancaman semula jadi daripada haiwan pemangsa iaitu jerung tidak dapat dielakkan.
Ia seolah-olah pesta makanan kerana sejurus sahaja anak penyu berenang masuk ke dalam laut, ia terus menyerang.
Walaupun tidak dapat melihat dengan jelas disebabkan gelap namun kami dapat mendengar bunyi percikan dan libasan air yang kuat.
Kemudian, aktiviti pada jam 8.30 malam boleh dikatakan paling mencabar kerana penyu akan mula naik ke darat pada waktu malam hingga jam 7 pagi keesokan harinya untuk bertelur.
Ia dibuktikan apabila sekurang-kurangnya 10 ekor yang mendarat sehingga jam 12.30 tengah malam.
Seramai 12 sukarelawan bersama empat pelatih UMT telah bersiap sedia melakukan rondaan bagi memantau dan mengawasi haiwan marin tersebut terutama bagi mengelak ia mengganggu sarang yang lain.
Pada waktu ini, penulis berasa amat teruja kerana buat pertama kali dapat melihat dan menyentuh sendiri penyu termasuk menunggu proses menggali sarang yang mengambil masa lebih kurang 45 minit dan 20 hingga 30 minit untuk bertelur.
Makan masa yang lama, tetapi berbaloi kerana kita juga dapat merasai pengalaman memegang dan memindahkan telur ketika ibu penyu masih lagi sedang melakukan aktiviti itu.
Penulis juga dimaklumkan ketika itu supaya tidak menyentuh ekor, bising dan menyuluh lampu di mata penyu kerana ia merupakan haiwan yang sensitif terutama kepada bunyi dan cahaya, perkara itu boleh membuatkan ia merajuk, tidak mahu bertelur dan kembali ke pantai.
Bagaimanapun, kita masih boleh menggunakan lampu tetapi berwarna merah dan buka ketika perlu sahaja.
Yang paling mengagumkan adalah saiz penyu itu, seakan-akan gergasi kerana lebih besar daripada penulis, ia boleh mencapai panjang hingga 150 cm dan berat antara 110 hingga 270 kilogram.
Bagi keesokan hari, bermula jam 8.30 pagi hingga 11 pagi, penulis menggali sarang yang sudah cukup usia pengeramannya bagi memeriksa sama ada telur itu menetas atau sebaliknya.
Ini kerana terdapat telur yang tidak menjadi, busuk dan anak penyu yang mati dan perlu dikeluarkan segera agar tidak mengganggu proses pengeraman yang lain.
Bagi penulis, pengalaman yang menakjubkan tetapi dalam masa sama agak sedikit terkilan kerana tidak dapat lagi melihat tiga spesies lain iaitu penyu belimbing, karah dan lipas di Terengganu.
Klik di sini untuk terus membaca