KITA mulakan premis tulisan kali ini dengan kenyataan ‘kita semua adalah rasis’.
Sebenarnya walaupun di seluruh dunia manusia cuba menunjukkan bahawa kita melayan setiap manusia dengan sama rata, hakikatnya mungkin tak selalu begitu.
Sebab itu dalam psikologi, prejudis ini dikategorikan dalam dua sifat, implicit dan explicit.
Implicit prejudice ialah perasaan negatif terhadap bangsa atau kumpulan lain yang dipendamkan, dan tak ditunjukkan.
Contoh mudahnya walaupun seseorang itu berkata dia tak bersifat negatif dengan mana-mana bangsa pun, tetapi jika katakanlah ada dua calon pekerja berlainan bangsa datang memohon kerja.
Kedua-duanya sama kelayakan, dan sama bakatnya. Biasanya, hati majikan tadi akan memilih orang yang sama bangsa dengannya.
Ia respons automatik yang berlaku dengan kebanyakan orang, jika tak semua sekalipun.
Ada pula prejudis yang ditunjukkan secara terang-terangan.
Misalnya perang yang berlanjutan antara Israel dengan penduduk Palestin, adalah explicit. Ia hal yang terang-terangan menunjukkan satu-satu bangsa itu benci dengan bangsa yang lain.
Malah banyak perang besar yang berlaku di seluruh dunia ini juga bermula dengan sengketa etnik.
Perang Serbia dan Bosnia sekitar tahun 90-an adalah proses menyingkirkan bangsa lain yang dianggap tak sesuai menduduki wilayah mereka. Ia kini berlaku lagi dalam perang antara Rusia dan Ukraine.
Fahaman Nazi yang tumbuh di Jerman dalam era Perang Dunia kedua juga adalah fahaman rasis yang mendakwa hanya bangsa Aryan sahajalah yang menjadi pilihan tuhan.
Sebab itu orang Yahudi yang juga mendakwa menjadi pilihan tuhan selalu menjadi sasaran utama dibunuh dan dipencilkan oleh pengikut fahaman Nazi.
Malah hampir semua negara di dunia ini berdiri atas nama bangsa. Setiap negara ini pula membawa bersama bahasa, budaya dan norma kehidupan masing-masing.
Malah memilih makanan pun, orang lebih cenderung memilih masakan yang terkait dengan salur galur warisan bangsanya juga.
Jadi, mungkin sangat idealis jika dikatakan manusia ini tidak rasis.
Kajian psikologi tunjukkan bayi yang berusia sekitar dua hingga tiga tahun pun sudah mula mengecam perbezaan warna kulit, dan menunjukkan sifat tidak suka terhadap mereka daripada keturunan lain.
Jadi kelihatannya, sifat berbangsa-bangsa dan memilih kelompok sendiri ini ialah sifat semula jadi manusia. Ia bukan hal yang pelik.
Cuma kelihatannya, perasaan prejudis ini kian menebal apabila seseorang itu kian dewasa.
Masyarakat di sekeliling mengajar manusia menjadi begitu. Di negara kita pun, walaupun telah lama merdeka, kita masih lagi riuh dengan isu bangsa ini.
Kita masih terpisah dalam banyak aktiviti kehidupan. Di universiti, walaupun Melayu, Cina dan India itu belajar bersama, tetapi di bilik kuliah setiap kaum duduk dalam kelompok etnik masing-masing.
Malah apabila diberi tugasan kumpulan pun, sepertinya kita masih belum menjiwai semangat Malaysia sebab setiap pelajar cenderung memilih ahli daripada kumpulan yang sama bangsa.
Dalam sukan juga, kita dapati ia masih berkisar dengan isu kaum. Sukan bola sepak sepertinya didominasi orang Melayu, badminton atau bola keranjang banyaknya diwakili orang Cina.
Orang India mungkin lebih banyak dalam sukan olahraga.
Tak berapa lama lagi, kita berpilihan raya lagi. Politik di negara kita memang berasaskan kaum. Itu semua kita sedia maklumi.
Jadi sebab itu, apabila setiap kali musim pilihan raya, jika ada ahli politik yang bermain dengan sentimen politik, anggaplah ia sebagai hiburan.
Ia hiburan kerana mereka akan mengubah kata-kata mereka apabila berada dalam kelompok pengundi yang berbeza-beza.
Di depan bangsa masing-masing, mereka akan bercakap tentang ketuanan dan hak bangsa masing-masing.
Di tempat yang lain mereka bercakap tentang masyarakat majmuk pula.Kita sebagai rakyat, jangan bergaduh sesama kita.
Sebab kita semua, tak boleh memilih bangsa dan keturunan kita. Yang boleh kita pilih ialah memandang ke hadapan dengan kebersamaan.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca