SHAH ALAM - Populasi penyu di Malaysia pada tahun lalu direkodkan sebanyak 11,129 ekor. Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah ini diukur berdasarkan pendaratan yang direkodkan di tujuh negeri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Populasi penyu di Malaysia pada tahun lalu direkodkan sebanyak 11,129 ekor.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah ini diukur berdasarkan pendaratan yang direkodkan di tujuh negeri iaitu Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, Terengganu mencatatkan jumlah pendaratan paling tinggi iaitu 9,632, diikuti Melaka (969), Pahang (368), Perak (61) dan Pulau Pinang (54).

"Selebihnya Negeri Sembilan (22), Wilayah Persekutuan Labuan (19) dan Johor (4).

"Selain itu pada tahun lalu juga, Jabatan Perikanan turut merekodkan jumlah pengeraman iaitu 977,905 dan jumlah penetasan 681,077,” katanya kepada Sinar Harian.

Adnan berkata, pihaknya yakin tahap kesedaran nelayan tempatan mengenai penyu adalah tinggi.

Bagaimanapun katanya, jabatan ada menerima kes rampasan bahagian badan penyu yang diperoleh dari bot nelayan asing dipercayai hasil buruan makanan.

"Sama ada untuk hidangan eksotik, itu kemungkinan dilakukan oleh nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

"Namun terdapat ancaman lain yang mengundang kepupusan penyu seperti hakisan pantai, dijadikan sebagai tangkapan sampingan serta ancaman pemangsa,” ujarnya.

Dalam usaha menangani kepupusan penyu, DOF telah mengambil beberapa langkah antaranya zon pantai untuk aktiviti pemuliharaan, mengenal pasti dan menjaga pantai pendaratan, pengutipan, pengeraman dan pelepasan berterusan serta penguatkuasaan.

"Kita meneruskan program pengurusan penyu seperti menanam telur penyu, pelepasan anak penyu, mengadakan pemantauan di pantai, pembelian telur penyu dari pemajak, program kesedaran awam kepada semua masyarakat, menjalinkan hubungan rakan strategik bersama pihak universiti, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam kempen pemuliharaan penyu.

"Jabatan turut menguat kuasa undang-undang di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 iaitu tiada seorang pun boleh memancing, mengganggu, mengusik, menangkap atau mengambil penyu selain enakmen dan peraturan-peraturan di bawah kerajaan negeri,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca