PENGORBANAN pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi pelbagai cabaran apabila berhadapan dengan musuh sejak negara merdeka adalah sesuatu yang tidak dapat dipertikai. Sememangnya penugasan berisiko tinggi sebagai... Klik di sini untuk terus membaca

PENGORBANAN pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi pelbagai cabaran apabila berhadapan dengan musuh sejak negara merdeka adalah sesuatu yang tidak dapat dipertikai.

Sememangnya penugasan berisiko tinggi sebagai anggota ATM memerlukan satu jaringan keselamatan sosial yang mampu setidak-tidaknya membantu pegawai dan anggota apabila mereka bersara kelak, sama ada selesai tempoh perkhidmatan atau secara tiba-tiba akibat kecederaan ketika latihan mahupun operasi.

Bagi memenuhi hasrat ini, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah ditubuhkan pada 1973 melalui Akta Parlimen 101.

Ia diwujudkan untuk memberi faedah-faedah persaraan kepada pencarum-pencarum wajib terdiri daripada pegawai dan anggota lain-lain pangkat berserta pencarum sukarela kalangan pegawai dan anggota Kerahan Angkatan Sukarela.

Pencarum dikenakan kadar caruman bulanan wajib sebanyak 10 peratus daripada gaji bulanan manakala 15 peratus sumbangan kerajaan. Bagi anggota lain-lain pangkat, kadar caruman diwajibkan adalah sama.

Antara faedah caruman LTAT adalah penerimaan dividen dan bonus tahunan, faedah khairat kematian dan hilang upaya serta menampung kos pembelian rumah atau tanah kediaman pertama.

Bagi menjamin aliran kewangan yang sihat, dasar pelaburan LTAT memiliki portfolio pelaburan pelbagai dalam sektor dan industri yang mempunyai potensi jangka panjang cemerlang serta memberi pulangan yang stabil.

Ia juga terlibat dalam aktiviti operasi pasaran wang melibatkan pengurusan wang lebihan bertujuan memaksimumkan pulangan.

Paling utama ialah LTAT diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan.

Sejak LTAT mula ditubuhkan, beribu-ribu bekas pegawai dan anggota telah mendapat faedah yang bukan sedikit untuk meneruskan kesinambungan kehidupan sebagai pesara serta menampung keperluan keluarga.

Entah di mana silapnya, apa dan siapakah dalang yang perlu dipertanggungjawabkan, LTAT yang sebelum ini dilihat sebagai badan berkanun kerajaan yang kukuh mula diketahui berhadapan pelbagai masalah sejak tahun 2014.

Satu demi satu kepincangan, terutama berkaitan kewangan mula didedahkan kepada umum.

Apabila audit bebas oleh firma Ernst & Young (EY) dilaksana ke atas LTAT pada 2019 didapati wujud pelbagai ketidakpatuhan dan kelemahan tadbir urus kewangan.

Antara kelemahan dikesan adalah keuntungan terjejas akibat terlebih bayar dividen, aset dinyatakan lebih tinggi daripada apa yang ada, usaha wajar (due diligence) tidak dilaksana dengan betul, aset harta tidak terjual, peningkatan risiko, dividen tertunggak daripada anak-anak syarikat yang tidak diterima dan kurang kawalan dalam unit amanah saham.

Pekung yang selama ini berjaya ditutup dengan pelbagai baju bercorak warna menarik dan berbau harum akhirnya terbuka apabila isu kegagalan memenuhi tempoh penyerahan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbongkar.

Kegagalan Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) untuk menyiapkan enam kapal dengan kontrak bernilai RM9.13 bilion yang diberikan Kementerian Pertahanan pada 2011 menggoncang prestasi dan reputasi LTAT.

Selain itu, syarikat Pharmaniaga yang berada di bawah Kumpulan Boustead, turut menambah derita LTAT apabila mengumumkan kerugian bersih sebanyak RM607.32 juta untuk tahun kewangan 2022.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan secara terbuka telah menegur pengurusan tertinggi LTAT dan mahukan LTAT beroperasi sebagai entiti yang bermaruah dalam hal menguruskan dana persaraan warga tentera demi memperkasa kebajikan golongan itu.

Lebih pedas beliau menyatakan bahawa hari ini banyak pihak melihat LTAT termasuk subsidiarinya Boustead Holdings Bhd sebagai syarikat yang ‘hidup segan mati tak mahu’.

Apa yang berlaku dalam LTAT boleh diibaratkan sebagai satu serang hendap yang tidak dijangka terhadap pegawai dan anggota yang masih berkhidmat serta yang telah bersara.

Persediaan untuk serangan hendap tersebut dilakukan bertahun-tahun dan penuh kerahsiaan!

Malah seorang bekas Perdana Menteri pada tahun 2022 mempersoalkan bagaimana kajian due diligence yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca