SHAH ALAM - Kelompok kaum yang tinggal di kawasan laut dekat perairan Sabah dipercayai membunuh penyu terutama spesies karah bagi mendapatkan sisik karapas atau tempurung belakang untuk dijual sebagai barang perhiasan bernilai sehingga ratusan ringgit.
Pakar penyu dari Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Juanita Joseph mendakwa, perbuatan tersebut berlaku sekian lama dan turut mengancam populasi penyu spesis lain termasuk agar.
Menurutnya, sisik karapas dijadikan barang perhiasan dalam bentuk cincin, sikat, pencucuk rambu, bingkai kaca mata dan lain-lain.
"Ini menyebabkan penyu karah di ambang kepupusan. Perkara ini diketahui pertubuhan antarabangsa yang lain, namun kita jarang mendapat bukti.
"Sebenarnya apa saja yang boleh dimakan dan dijual, mereka akan eksploitasi termasuk kerang-kerangan, timun laut, ikan lumba-lumba dan sebagainya.
"Semua hasil akan dijual kepada orang tengah sama ada orang tempatan atau Filipina dan juga nelayan asing dari Hainan, China dan Vietnam,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujar beliau, pihaknya pernah menemui penyu karah mati dengan tali cerut di leher dalam keadaan sisik karapas telah diambil manakala badan haiwan itu ditinggalkan kerana dagingnya beracun.
"Kita juga terjumpa plastik yang mempunyai sisik penyu karah ini terdampar di Pulau Pom Pom, Semporna, apabila diperiksa dan disusun sisik tersebut, didapati ia adalah dari seekor penyu karah juvenil.
"Kemungkinan ia dibuang ke laut apabila pihak berkuasa menahan bot mereka,” katanya.
Ujar Juanita, status konservasi penyu karah dalam senarai merah oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) sebagai amat terancam apabila merekodkan 80 peratus populasi haiwan laut itu di dunia telah hilang.
"Di Malaysia tinggal kurang 1,000 sarang setahun dengan Melaka dan Sabah kawasan utama untuk bertelur.
"Kawasan lain penyu karah bertelur adalah seperti di Terengganu dan Johor tetapi sarang adalah sangat rendah iaitu kurang 50 sarang setahun.
"Maka perlu diingat, 1,000 sarang bukan 1,000 ekor haiwan laut itu bertelur, purata lima kali dalam satu musim. Jadi, sebenarnya kita ada lebih kurang 200 ekor penyu sahaja,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca