KUALA TERENGGANU - Kerajaan terutama Jabatan Perikanan Malaysia disarankan untuk memperluaskan dimensi penguatkuasaan undang-undang konservasi penyu termasuk mendidik masyarakat menerusi media massa bagi menyelamatkan populasi penyu di... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA TERENGGANU - Kerajaan terutama Jabatan Perikanan Malaysia disarankan untuk memperluaskan dimensi penguatkuasaan undang-undang konservasi penyu termasuk mendidik masyarakat menerusi media massa bagi menyelamatkan populasi penyu di Malaysia.

Usaha itu bagi menangani beberapa faktor seperti kekejaman manusia dan pencemaran hingga menyebabkan haiwan itu kehilangan habitat.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, melalui langkah itu, peluang untuk pemuliharaan haiwan marin itu akan menjadi lebih besar.

Jelasnya, penguatkuasaan undang-undang itu tidak boleh hanya bergantung kepada hukuman semata-mata kerana akan dilihat terbatas dan lemah.

"Dalam keadaan sekarang, jabatan terlibat mengalami keterbatasan mobiliti termasuk kewangan unit penguatkuasaan.

"Justeru, untuk memberi kesedaran bukan sekadar menjatuhkan hukuman, tetapi perlu dilihat daripada aspek mendidik masyarakat juga.

"Jika berpegang dengan konsep ini, kita akan mampu menggembleng lebih banyak pihak dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Uzair, jika dilaksanakan dimensi itu, bukan hanya pihak berkuasa seperti jabatan perikanan akan menggunakan kuasa mereka untuk mengambil tindakan secara langsung.

Tetapi, ujarnya, pihak lain juga dapat menguatkan lagi penguatkuasaan dengan mengambil peranan sebagai pendidik termasuk media masa.

"Sekarang kita perlu giat kerjasama antara semua pemegang taruh untuk memain dan mengangkat fungsi undang-undang untuk mendidik pula,” tambahnya.

Cadangan beli telur penyu dari luar negara tak berbaloi, berisiko

Sementara itu, cadangan pembelian telur penyu terutama spesis belimbing dari negara luar untuk pembiakan di negara ini dianggap berisiko dan tidak berbaloi.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, cara tersebut tidak menjamin keberkesanan menyelamatkan haiwan marin itu daripada ‘hilang’ di perairan negara kerana akan melibatkan kos yang tinggi.

"Semua spesies penyu mempunyai memori minda terutama di mana tempat ia menetas. Kita percaya ia membina pemahaman berkaitan pengesanan kawasan dari dalam sarang lagi.

"Contohnya jika kita beli telur penyu belimbing dari negara luar seperti Indonesia, Papua New Guinea, dan India dan bawa ke Malaysia, ia tetap akan dilepaskan selepas menetas dan bergerak ke seluruh dunia.

"Kemudian selepas 20 tahun seksualitinya matang, ia akan kembali ke tempat asal iaitu bukan Malaysia. Itu yang dipanggil sains asas,” katanya.

Ujar beliau, disebabkan tempoh kematangan penyu mengambil masa yang lama, maka lebih peruntukan sedia ada digunakan untuk menyelamatkan spesies yang masih ada di negara ini berbanding membeli telur penyu dari luar negara.

Menurutnya, penyu belimbing masih lagi boleh ditemui di perairan Terengganu, namun haiwan tersebut tidak kembali mendarat ke pantai untuk bertelur kerana bilangannya tidak mencukupi bagi menjalani fungsi ekologi.

"Justeru kami beranggapan ia pupus secara fungsi. Penyu karah dan lipas memang tradisi populasi kedua-duanya amat kecil di Terengganu, namun di pantai barat semenanjung seperti Melaka masih lagi banyak.

"Keadaan ini membimbangkan kerana dalam setahun maksimum tiga ekor sahaja bertelur. Jadi, hargailah selagi ia masih ada,” katanya.

Mohd Uzair menggesa Jabatan Perikanan mempertingkatkan teknologi bot bagi memudahkan semua pihak menjalankan kajian marin termasuk penyelamatan haiwan laut.

Katanya, data berkaitan penyu juga mencetus permasalahan daripada segi komunikasi antara jabatan dan pihak pelancongan.

"Data diuruskan melalui sektor di mana masing-masing mengendalikan perkara itu sendiri, sekali gus menyebabkan ia menjadi tidak sistematik dan menyukarkan pihak kami.

"Contohnya jika kami memerlukan jumlah dan bilangan haiwan laut, kami perlu menggunakan sistem manual seperti WhatsApp untuk bertanya kepada mereka dan ia memakan masa lama dan kemungkinan tidak tepat.

"Bukankah lebih bagus mempunyai satu sistem dan diuruskan satu pihak, dengan itu segala maklumat akan lebih teratur dan mudah dikemaskini,” ujarnya.

Beliau turut meminta Jabatan Perikanan menambah baik sistem aplikasi Penyu E-Mas yang setakat ini hanya menerima laporan kedamparan.

Klik di sini untuk terus membaca