ASHLEY Qualls, Juliath Brindak, Sean Belnik, Adam Horowitz, John Koon, Cameron Johnson, David dan Catherine Cook, Nick D'Aloisio, Tyler Dikman serta Fraser Doherty.
Kenalkah anda nama-nama di atas? Dijamin ramai tidak kenal. Lainlah kalau sebut nama Rihanna, Miley Cyrus, Jennifer Lopez, Adele, Justin Bieber, Jenna Ortega, Jang Minho, BTS, Black Pink, Song Joong Ki atau Kim Ji Eun. Belum habis dieja nama, ramai sudah kenal.
Bukan setakat kenal biasa-biasa, malah tahu tarikh dan tempat lahir, tinggi, berat badannya, tidak terkecuali hobi serta kegemaran mereka.
Untuk menjimatkan masa daripada mencari nama siapa yang saya paparkan pada perenggan pertama – kerana masa itu mungkin lebih baik digunakan untuk membaca komen politik yang entah apa-apa – maka biar saya beritahu bahawa mereka adalah antara individu yang mencapai status jutawan sebelum usia mencecah 20 tahun dan semuanya kerana usaha sendiri, bukan kerana dilahirkan dalam ‘tempayan emas’.
Tyler Dikman misalnya, mula menjalankan perkhidmatan membaiki komputer secara sambilan pada usia 13 tahun dan dua tahun kemudian menubuhkan syarikat perniagaan sendiri, Cooltronics yang menawarkan perkhidmatan sama. Syarikat itulah yang menjadikannya jutawan pada penghujung usia belasan tahun. Fraser Doherty pula berusia 14 tahun apabila mula menghasilkan jem buatan sendiri berasas resipi warisan neneknya.
Menggunakan jenama Superjam, pengusaha muda Scotland yang kini berusia 34 tahun itu, hanya mengambil masa singkat untuk meledakkan jenama produknya di pasaran dan pada usia 16 tahun, dia telah menjadi jutawan.
Saya sengaja memilih contoh-contoh dari luar. Saya tahu bukan tidak ada muda-mudi tempatan kaya-raya pada usia muda tetapi saya tidak berani menjadikan mereka sebagai contoh, sebab takut dituduh saya dibayar untuk mempromosi mereka.
Lagipun saya sendiri keliru dengan kayu pengukur orang kita – adakah kaya itu diukur dengan kemampuan menggunakan ‘supercar’ dan makan minum menu kayangan atau dengan jumlah wang dan harta sendiri, bukannya dipinjam, disewa atau dibayar secara ansuran.
Dalam tulisan minggu lalu, saya telah nyatakan menjadi kaya adalah hak semua orang. Sesiapa pun boleh mencapai status itu. Bacalah kisah Lee Thiam Wah, pengasas 99 Speedmart yang kekurangan upaya akibat diserang penyakit polio pada zaman kanak-kanaknya.
Tanpa berpeluang menerima pendidikan menengah, Thiam Wah tidak berkompromi dengan kekurangannya. Dia berusaha gigih sehingga berupaya mengangkat kedai runcit yang dibukanya pada usia 23 tahun menjadi rangkaian perniagaan dan memiliki hampir 2,000 cawangan di seluruh negara.
Kita boleh menjadi seperti Thiam Wah, Doherty, Dikman, Qualls, Brindak dan lain-lain. Tiada siapa akan menangkap kita hanya kerana bercita-cita jadi kaya. Lainlah kalau cita-cita itu cuba dicapai dengan jalan ditegah oleh undang-undang. Jauhi cara itu. Tidak guna menjadi kaya jika setiap kali nampak kereta polis, bibir kering, air liur sejat dan lutut bergegar.
Kata guru saya, rukun pertama untuk menjadi kaya ialah menetapkan matlamat. Letakkan satu sasaran, misalnya hendak memiliki RM1 juta yang pertama pada usia 25 tahun. Tiang gol itu boleh diubah tetapi mestilah ke arah positif.
Misalnya, RM1 juta ditukar menjadi RM2 juta dan 25 tahun diubah menjadi 23 tahun. Jangan sesekali ditukar RM1 juta menjadi RM100,000 kerana kompromi yang bersifat mengurangkan angka sasaran selalunya berakhir dengan kegagalan.
Rukun kedua yang perlu ada ialah sifat sayangkan duit. Ia tidak bermaksud anda perlu menjadi kedekut sehingga menolak semua keselesaan hidup semata-mata sebab takut duit habis. Yang penting, anda tidak boros dan bijak mencongak sebelum berbelanja.
Ia samalah seperti orang yang sayangkan isteri dan anak. Sudah tentu isteri dan anak itu dijaga dengan baik, bukannya dibiarkan bersepah serta bebas diangkut sesiapa sahaja.
Disiplin merupakan rukun ketiga perlu ada jika mahu jadi kaya. Jenis yang mengambil mudah soal ketepatan waktu, lebih mementingkan tidur daripada bekerja, tidak konsisten dalam apa juga dilakukan selalunya lebih mudah terkena kayap daripada ‘terjadi’ kaya.
Rukun keempat ialah istiqamah. Yakin apa yang anda lakukan dan teruslah melakukannya. Pedulikan apa orang lain kata tetapi bukan bermakna anda harus mengabaikan kesemuanya.
Saring dan pilih mana yang boleh dijadikan panduan, kemudian gunakan ia untuk memperbaiki apa yang patut.
Rukun kelima dan paling penting, biar wang bekerja untuk anda. Contohnya, dengan bermodalkan RM1,000 anda mendapat pulangan RM5,000 tanpa perlu berbuat apa-apa. Caranya? Hubungi saya, nanti saya bagi nombor akaun... #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat