SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk menggubal satu akta baharu berkaitan isu 3R (agama, raja dan kaum) kerana undang-undang sedia ada sudah memadai.
Pakar Perlembagaan, Dr Muhamad Fathi Yusof berkata, pada dasarnya setiap individu di Malaysia bebas untuk bercakap dan memberi ulasan mengenai 3R secara keseluruhan kerana ia termaktub dalam prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara.
Namun katanya, perkara yang perlu diberi perhatian dan dikawal adalah isu berunsur fitnah dan hasutan.
"Jadi, saya rasa dalam konteks ini kita tidak perlukan akta baharu memandangkan hasutan sudah ada mekanisme perundangan iaitu Akta Hasutan 1948 manakala fitnah dalam Kanun Keseksaan, Seksyen 499 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 500,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau memberi contoh isu Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dibangkitkan rakyat pada tahun 2019.
"Jika isu berkenaan tidak dihalang oleh rakyat ketika itu, mungkin ICERD akan dibenarkan.
"Jadi kerajaan tidak boleh menyekat sekiranya ada pandangan berbeza daripada rakyat berkaitan isu 3R kerana negara kita mengamalkan kebebasan bersuara.
"Tidak wajar sekat kebebasan bersuara mengenai isu penting ini. Apa perlu dilakukan ialah mengawal dan melarang sebarang bentuk tindakan berunsur hasutan dan fitnah,” ujarnya.
Jumaat ini, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan bagi menilai undang-undang sedia ada serta memperhalusi keperluan untuk mewujudkan akta baharu berkaitan isu 3R.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perbincangan itu bertujuan menangani pihak tertentu yang sengaja mencetuskan provokasi melampau mengenai isu berkenaan.
Jangan terlalu ghairah hina lawan
Sementara itu, pemimpin politik dinasihat untuk tidak terlalu ghairah mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan dengan niat untuk menjatuhkan air muka individu lain meskipun berbeza pegangan politik.
Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani, Aidi Amin Yazid berkata, adab dan tertib ketika berucap di pentas politik perlu dijaga agar ia tidak berterusan mencetuskan permusuhan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Menurutnya, keghairahan berucap sehingga wujud unsur kecaman dan sindiran melampau tidak wajar dijadikan amalan kerana kesan negatif yang dibawa cukup besar.
"Jangan amalkan politik yang menjatuhkan peribadi lawan. Berpeganglah pada asas Rukun Negara kerana pemimpin politik sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat, bukannya mengajak mereka menyemai budaya kebencian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas Aidi, sikap sesetengah pemimpin yang keterlaluan ketika berhujah boleh menjadi pencetus kepada permusuhan penyokong antara parti.
"Penyokong boleh bertindak di luar batas jika pemimpin terus menunjukkan sikap angkuh, suka mengata dan mengeji dengan menggunakan bahasa tidak sepatutnya.
"Ini akan mewujudkan situasi tegang walhal perbezaan politik seharusnya diraikan untuk kebaikan masyarakat sama ada yang tua, muda, miskin atau kaya,” ujarnya.
Tambahnya, pemimpin yang baik adalah pemimpin yang sentiasa profesional dalam menjalankan tugasnya meskipun pada saat menghadapi situasi tegang.
Klik di sini untuk terus membaca