KEMUDAHAN internet membolehkan kita melihat apa sahaja yang di inginkan. Pencinta alam boleh melihat gunung-ganang, bukit-bukau, air terjun, sungai, kolam dan lautan. Mereka boleh melihat kota, istana, mahligai mahu pun sebuah rumah comel di tepi kolam.
Apabila melayari laman sesawang, kita boleh melihat manusia dengan segala kemewahan. Yang berharta menayangkan kereta mewah, kapal mewah, motosikal mewah dalam kehidupan mewah.
Jika apa ditatap itu sekadar melayan mata, segala-galanya akan padam sebaik sahaja komputer ditutup. Seandainya gambaran itu tidak boleh dilenyapkan hingga ia sentiasa menerjah fikiran, jangan pula hingga menjadi seperti kisah Mat Jenin yang cedera akibat terjatuh daripada pohon kelapa kerana angan-angan.
Jika angan-angan itu sentiasa datang menjengah hingga terbawa ke dalam mimpi, pasti segala yang menyeronokkan itu sudah meresap dalam sanubari. Ia juga menandakan apa yang diangan-angankan itu harus dengan menjadikan ia sebagai sesuatu diidamkan.
Visi yang muluk-muluk itu dinamakan impian. Ia adalah imej penghujung atau puncak yang dibayangkan. Ia kelihatan cantik, indah, elok, hebat dan sedap mata memandang. Namun, jika itu yang dikejar, ia umpama berlari mengejar fatamorgana.
Kita tidak akan sampai ke penghujung untuk merangkulnya, sebaliknya kita akan lelah dan haus mengejar sesuatu yang akhirnya ghaib kerana ia bukan realiti, ia hanya bayangan.
Untuk mencapai impian, ia harus dihampiri dengan wawasan – keupayaan melihat esok hari pada hari ini! Jika impian itu teori, wawasan itu adalah praktiknya! Jika impian itu hanya dua dimensi, wawasan itu tiga dimensi kerana ia boleh dihampiri, dicapai dan dirangkul ke dada.
Wawasan itu, insya-ALLAH boleh jadi realiti jika kita mempunyai aturan langkah rancangan untuk mencapainya. Ia harus dimulakan dengan mengenal pasti jaraknya dari tempat kita sekarang.
Seperti juga jika kita ingin ke sesebuah tempat, aplikasi GPS tidak dapat mencongak tempoh kita tiba jika ia tiada maklumat lokasi kita sekarang. Jadi, tip pertama untuk mencapai wawasan ialah mengetahui di mana kita berada. Selepas itu barulah kita dapat menganggar tempoh masa kita sampai ke matlamat itu. Tempoh mestilah realistik.
Kita perlu hampirinya dengan tindakan. Tempoh masa mencapai wawasan itu jika kurang dari setahun, biarlah ia dinamakan target sahaja kerana wawasan itu matlamat yang besar seperti berdiri di puncak gunung, bukannya di atas busut. Tempohnya mestilah tidak kurang setahun.
Jangan lupa halangan yang akan melambatkan atau mematikan ikhtiar mencapai wawasan. Halangan dalam bentuk manusia itu adalah diri sendiri. Kita malas atau bertangguh akan memperlambat atau mematikan terus wawasan kita.
Tetapi tidak ada sesiapa boleh dipersalahkan. Malah, diri sendiri tidak perlu dipersalahkan kerana tiada sesiapa pun yang boleh memaksa kehendak kita yang hukumnya harus itu.
Yang menjadi cabaran adalah halangan manusia. Jika sebelum ini yang akan menumpulkan hasrat murni kita mencapai matlamat adalah mereka di sekeliling kita. Hari ini manusia yang tidak kenal kita pun boleh melontarkan ayat-ayat memperlekeh, yang boleh membuat kita ‘koyak’ jika kita ambil pusing dengan kata-kata mereka.
Hari ini ramai netizen bersikap menaikkan diri dengan merendahkan orang lain. Mereka yang belum begitu berjaya biasanya tidak boleh melihat orang lain berpotensi lebih daripada mereka. Ada juga tidak tahu apa-apa wawasan kita yang ingin dikritik itu tetapi turut membalun semata-mata hendak tunjuk dia pun pandai juga – pandai mengata!
Walau apa pun, jangan lupa untuk menyedari idea asal sesebuah wawasan itu sebenarnya dititipkan oleh Yang Maha Perancang. Dialah memberi idea kepada wawasan yang tercetus dalam minda kita. Setiap manusia itu adalah pemimpin.
Barangkali idea besar dan baik yang terlintas di hati itu adalah amanah yang seharusnya diiltizam dan diusahakan untuk direalisasikan. Yang penting gagasan wawasan yang melangit itu harus dibumikan agar ia dapat dilaksanakan.
Galilah memori lalu untuk mencari apa-apa yang berupa impian yang telah mati untuk digilap menjadi wawasan. Sempena Tahun Hijrah 1445, mari kita baharui azam dengan iltizam.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca