ROM - Kebanyakan negara terutama di Asia kini mengalami iklim lebih lembap selepas bertarung cuaca panas beberapa bulan lalu. Namun, berbeza beberapa bahagian lain di dunia yang sedang berdepan impak fenomena pemanasan global dengan suhu... Klik di sini untuk terus membaca

ROM - Kebanyakan negara terutama di Asia kini mengalami iklim lebih lembap selepas bertarung cuaca panas beberapa bulan lalu.

Namun, berbeza beberapa bahagian lain di dunia yang sedang berdepan impak fenomena pemanasan global dengan suhu tinggi melampau hingga memecah rekod.

Minggu lalu, Amerika Syarikat (AS) merekodkan suhu panas tertinggi melebihi 40 darjah Celsius dan disifatkan berbahaya kepada lebih 80 juta penduduk di pantai teluk barat serta bahagian selatan.

Sementara itu, negara jirannya, Kanada bergelut menangani lebih banyak kemusnahan akibat kebakaran hutan berikutan musim panas yang panjang.

Gelombang haba ekstrem yang sama turut mencengkam rantau Eropah.

Di Itali, Kementerian Kesihatan terpaksa mengeluarkan amaran merah ke atas 16 bandar termasuk Rom, Bologna dan Florence setelah pusat ramalan cuaca menggesa penduduk negara itu bersiap sedia menghadapi gelombang haba paling sengit.

Keadaan cuaca panas luar biasa mengancam penduduk di Eropah.
Keadaan cuaca panas luar biasa mengancam penduduk di Eropah.
Keadaan cuaca panas luar biasa mengancam penduduk di Eropah.

Suhu di Rom mencecah 39 darjah Celsius pada Isnin dan dijangka meningkat kepada 43 darjah Celsius keesokan harinya, sekali gus memecahkan rekod 40.5 darjah Celsius yang pernah dicatatkan pada Ogos 2007.

Agensi Angkasa Eropah (ESA) meramalkan Pulau Sicily dan Sardinia berpotensi merekodkan suhu paling panas sehingga 48 darjah Celsius.

Di Perancis, suhu panas melampau dan kemarau luar biasa mengancam industri pertanian.

Sikap ‘terlalu tenang’ Menteri Pertanian, Marc Fesneau yang menyifatkan situasi tersebut sebagai ‘kebiasaan untuk musim panas' mengundang kritikan ahli klimatologi pada akhir minggu lalu.

Sepanjang Jun turut direkodkan sebagai bulan paling panas di Paris, manakala beberapa kawasan berada di bawah amaran gelombang haba sejak Selasa lalu.

Di Sepanyol, Agensi Meteorologi memberi amaran gelombang haba baharu dijangka melanda negara itu bermula Isnin hingga Rabu dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius di Kepulauan Canary dan wilayah selatan Andalusia.

Kesan El Nino Bahagian di timur Jepun pula diramalkan mencatatkan suhu 38 hingga 39 darjah Celsius pada minggu ini.

Berbeza pula di India, hujan monsun luar biasa telah meragut sekurang-kurangnya 90 nyawa di utara negara itu selepas dilanda gelombang haba ekstrem beberapa minggu lalu.

Hujan lebat luar biasa melanda utara India setelah negara itu berdepan gelombang haba ekstrem beberapa bulan lalu.
Hujan lebat luar biasa melanda utara India setelah negara itu berdepan gelombang haba ekstrem beberapa bulan lalu.
Hujan lebat luar biasa melanda utara India setelah negara itu berdepan gelombang haba ekstrem beberapa bulan lalu.

Sungai Yamuna di sepanjang ibu kota telah mencapai paras berbahaya dan mengancam kawasan kejiranan di dataran rendah di bandar mega berpopulasi lebih 20 juta penduduk itu.

Maghribi pula mencatatkan suhu melebihi purata dengan 47 darjah Celsius dilaporkan di beberapa wilayah iaitu lebih tipikal pada Ogos berbanding Julai, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masalah kekurangan bekalan air.

Jordan yang berdepan masalah sama terpaksa membuang 214 tan air untuk memadamkan kebakaran di hutan Ajloun di utara ketika negara itu sedang bergelut dengan gelombang haba.

Di Iraq, paras Sungai Tigris dikatakan menyusut dengan cepat ketika suhu mencecah hampir 50 darjah Celsius.

Penduduk tempatan, Wissam Abed, 37, yang sering menyejukkan tubuhnya di Tigris ketika musim panas mendakwa paras air di tengah sungai itu kini mencecah pinggangnya.

"Tahun demi tahun, keadaan semakin teruk,” katanya.

Gelombang haba disebabkan El Nino semakin teruk di kebanyakan benua di dunia selepas perkhidmatan pemantauan iklim EU mendakwa dunia merekodkan bulan Jun paling panas setakat ini walaupun kesan fenomena tersebut dikatakan belum berlaku secara menyeluruh. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca