[DIKEMAS KINI] POPULARITI Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor jadi satu fenomena yang boleh setanding dengan populariti mantan Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat dan mantan Presiden Rodrigo Duterte di Filipina.
Ketiga-tiga tokoh ini digelar ‘populis’ kerana mereka mempamerkan diri sebagai wakil ‘rakyat’ atau ‘orang biasa’ yang berani mencabar 'establishment'.
Mereka menggunakan bahasa yang kasar, kesat malah ada kalanya lucah tetapi kekurangan adab ini dipuji oleh pengikut-pengikut mereka sebagai tanda ‘keberanian’ dan ‘ketelusan’.
Akar umbi yang rasa terpinggir dan gelisah dalam perubahan zaman marah dengan elit politik, ekonomi dan masyarakat yang rasanya terpisah dengan golongan marhaen dan sering menunjukkan perangai ‘cakap tak serupa bikin’.
Pengikut-pengikut tokoh populis suka kepada teori konspirasi dan pentafsiran alternatif kepada fakta dan sejarah. Ini dibantu oleh kebangkitan media sosial yang mewujudkan ‘ruang gema’ untuk kelompok-kelompok yang berpandangan dekat.
Mereka tertarik dengan pemimpin populis yang mendakwa mereka akan membawa penyelesaian serta-merta dan menghalalkan sikap dan tindakan pemimpin yang menghina kedaulatan undang-undang dan kompromi dalam politik demokratik.
Di Amerika, Trump mengapi-apikan kemarahan golongan pekerja orang putih ke atas golongan liberal dan minoriti. Akan tetapi, dasar ekonominya tetap memihak kepada golongan atasan. Malah, Trump yang taikun kelahiran kayangan sendiri elak membayar cukai.
Trump menghina wanita dan mengkhianati keluarganya tetapi tetap disokong golongan konservatif Kristian yang menentang hak pengguguran dan mendukung hak memiliki senjata api.
Kebangkitan populisme adalah akibat dan juga sebab polarisasi politik yang boleh menghanguskan demokrasi dan negara. Trump bangkit apabila perbezaan ideologi puak kanan dan puak kiri di Amerika Syarikat membesar sampai elit politik Republik dan Demokrat hilang sikap budiman sesama lain.
Trump enggan menerima kekalahannya dalam pilihan raya pada 2020 dan menghasut puak pelampau kanan untuk mencerobohi Kongres Amerika, sampai tergugat sekalipun nyawa Timbalan Presidennya, Mike Pence yang menerima kekalahan.
Trump melaung-laungkan slogan ‘Hebatkan Amerika Sekali Lagi’ tetapi akhirnya Amerika menjadi lebih lemah di dalam negeri dan di mata dunia.
Sanusi bukan populis pertama di Malaysia. Pas, UMNO, DAP dan parti-parti lain ada juga pemimpin populis tetapi tiada yang berjaya seperti Sanusi setakat ini.
Menteri Besar Pas ada dua model, pimpinan ulama seperti Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan pimpinan profesional seperti Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Terengganu. Sanusi berjaya mengukir modelnya yang popular kerana popularisme, bukan ciri ulama atau ciri profesional.
Tidak hairan Sanusi berani mencabar institusi tinggi. Tidak hairan dalam beberapa tahun beliau mungkin menjadi Presiden Pas.
Populisme hanya boleh ditewaskan di peti undi apabila pengundi medan tengah keluar beramai-ramai dan sentimen ‘anti-establishment’ berjaya dicari penawarnya.
Cuba melawan populisme secara keras bagaikan ingin memadam api dengan menyiram minyak. Yang berkuasa perlulah lebih bijaksana.
Pergi ke sawah merentas titi,
Moga peluh menjadi beras;
Politik perlu berbudi pekerti,
Gagal dipupuk secara keras.
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca