PADA hari ini, antara perkataan yang sering kita dengar diungkapkan oleh pemimpin utama negara ini adalah tata kelola. Tata kelola sebelum ini lebih dikenali dan difahami ramai sebagai tadbir urus. Negara kita satu ketika dahulu pernah mempunyai sebuah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).
Sama seperti kata akar tadbir dan urus yang memberi gambaran bahawa sesuatu perkara itu perlu diurus dan ditadbir dengan baik untuk mencapai kesempurnaan atau mencapai matlamat akhir yang dihajati, begitu jugalah dengan perkataan tata kelola. Tata kelola membawa maksud yang sama iaitu sesuatu urusan itu dikelolakan dan dikawal supaya sempurna perjalanan segala usaha bagi mencapai hasrat dan objektif.
Lebih penting dalam konteks konsep governans yang juga sama dengan tata kelola yang mula diperkenalkan oleh Bank Dunia sekitar tahun 1992, adalah bahawa tata kelola atau tadbir urus itu harus bukan sahaja mengelola dan menguruskan sesuatu perkara dengan baik tetapi juga harus membantu memberi kebaikan kepada keseluruhan sistem yang ada.
Sebagai contoh, kalau sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) atau majlis perbandaran melaksanakan projek penswastaan bagi tujuan untuk mengutip sampah, mencuci longkang serta memotong rumput dalam kawasan majlis perbandaran tersebut, ia perlu bermula dengan ketelusan dalam proses pemilihan antara syarikat-syarikat swasta yang membida untuk mendapat projek itu.
Ia bagi memastikan proses pemilihan itu tidak ada pilih kasih atau sebarang salah guna kuasa dalam menganugerahkan kontrak kepada saudara-mara atau kenalan rapat seseorang. Keduanya, proses yang telus ini juga akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat.
Proses yang telus ini juga akan menentukan bahawa semua pihak yang terlibat akan memberi keutamaan kepada akauntabiliti. Semua pihak akan mengambil tanggungjawab masing-masing dan melaksanakan tugas dengan amanah dan jujur.
Hasilnya nanti, syarikat swasta yang dipilih berdasarkan merit, mereka ini akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kalau mereka berjanji dalam kontrak untuk mengutip sampah tiga kali seminggu dengan menggunakan 10 lori sampah, maka mereka akan mengotakan janji mereka. Sistem mengutip sampah akan menjadi lebih efektif dan efisien.
Berbeza dengan perkataan kelola, ada satu lagi perkataan yang hampir sama bunyinya dan sering digunakan di utara semenanjung Malaysia. Perkataan tersebut adalah keloloh. Keloloh ini memberi gambaran seseorang yang kurang sopan atau kurang tertib dalam kelakuan atau perkataannya yang boleh disamakan dengan kelakuan yang tidak senonoh.
Seseorang pemimpin itu tidak kira di peringkat mana perlu mengelakkan diri mereka daripada dilabel sebagai seorang yang keloloh. Untuk menjadi seorang pemimpin yang baik hari ini selain menghindarkan diri daripada sifat keloloh, mereka perlu menyediakan diri dengan secukupnya untuk menghadapi realiti baharu pada hari ini.
Antara realiti baharu, negara kita memerlukan pemimpin yang dapat memberi penelitian dalam setiap tindak tanduk serta penumpuan kepada keputusan yang berkualiti berteraskan maklumat yang tepat. Bukan membuat keputusan secara semberono. Perlu ada 'foresight'. Perlu dibuat analisis data.
Negara kita memerlukan pemimpin yang memiliki keyakinan dan keberanian untuk bertanya soalan-soalan yang tepat dan sukar. Mereka perlu mencabar sebarang andaian dan pandangan yang tidak bersandarkan kepada bukti empirikal. Bukan yang menerima apa sahaja yang disogokkan kepada mereka.
Tuntutan terhadap kepimpinan hari ini juga bermakna bahawa seseorang pemimpin mesti mempunyai tujuan yang jelas dan keupayaan untuk menggerakkan masyarakat yang mereka pimpin untuk mencapai matlamat yang dipersetujui bersama.
Kita memerlukan pemimpin yang menerima kepelbagaian dan keterangkuman dalam semua bentuknya, secara berterusan menilai pelbagai kemahiran, perspektif dan pengalaman yang mereka perlukan untuk membawa kebaikan kepada rakyat.
Pemimpin yang kita dambakan adalah mereka yang mengutamakan tata kelola bukan yang keloloh. Pemimpin yang menjaga tata kelola akan melaksanakan tugas mereka secara beretika, mengejar matlamat moral dengan cara yang bermoral.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca