BANGKOK - Monarki Thailand dilindungi salah satu undang-undang fitnah paling ketat di dunia hingga menyaksikan rakyat yang membuat sebarang kritikan terhadap Raja Vajiralongkorn dan keluarga diraja akan mendapat hukuman berat.
Parti prodemokrasi Move Forward (MFP) telah memenangi hampir semua kerusi dalam pilihan raya pada Mei lalu dan telah berjanji untuk meminda Seksyen 112 atau Lese Majeste.
Namun, usahanya membentuk kerajaan telah digagalkan senator yang dilantik junta tentera Thailand untuk menentang sebarang usaha mengurangkan skop undang-undang atau tempoh hukuman penjara dikenakan terhadap pesalah yang mengkritik keluarga diraja.
Apakah Seksyen 112 Kanun Jenayah?
Di bawah Seksyen 112 Kanun Jenayah Thailand, sesiapa yang disabitkan kesalahan memfitnah atau mengancam raja, permaisuri, waris atau pemangku raja, bakal berdepan hukuman penjara tiga hingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan.
Tetapi undang-undang tersebut juga ditafsirkan termasuk kritikan dalam mana-mana aspek monarki termasuk kandungan dimuat naik atau dikongsi dalam media sosial.
Dalam hukuman paling berat setakat ini membabitkan seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 35 tahun pada 2017 selepas melakukan beberapa siri catatan dan komen Facebook mengenai keluarga diraja.
Bagaimana ia dikuatkuasakan?
Sesiapa saja boleh membuat tuduhan di bawah undang-undang dan pihak berkuasa bertanggungjawab untuk menyiasat laporan tersebut.
Setakat ini, tiada pendedahan telus mengenai jumlah rasmi aduan, tangkapan, dakwaan atau hukuman, namun terdapat sedikit maklumat tidak konsisten diterima pihak berkuasa.
Bagaimanapun, penggunaan Seksyen 112 telah meningkat secara mendadak sejak rampasan kuasa tentera pada tahun 2014.
Menurut kumpulan bantuan awam, hanya enam orang dipenjarakan atas sabitan Lese Majeste sebelum tahun 2014.
Katanya, jumlah itu melonjak sejak itu di mana 246 orang dituduh atau didakwa melanggar undang-undang sejak pertengahan 2020, termasuk 20 orang kanak-kanak bawah umur.
Lazimnya, mereka yang didakwa selalunya disabitkan bersalah, namun apabila mengakui kesalahan, hukuman akan diringankan.
Mengapa undang-undang ini menjadi perhatian?
Parti MFP yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya Mei lalu telah mendesak pembaharuan kepada undang-undang untuk meringankan hukuman jenayah.
Tetapi usaha Pita untuk membentuk kerajaan didapati hampir gagal selepas senator yang dilantik tentera enggan menyokong pencalonannya sebagai perdana menteri ke-30 Thailand.
Ahli Parlimen dan pertubuhan politik konservatif Thailand telah menganggap ikrar MFP untuk meminda Seksyen 112 sebagai satu tindakan menggugat kestabilan monarki.
Selain itu, Mahkamah Perlembagaan juga telah bersetuju untuk mendengar kes yang mendakwa janji reformasi itu merupakan percubaan untuk 'menggulingkan' sistem raja berperlembagaan yang sekali gus bakal menyebabkan Pita hilang kelayakan dalam Parlimen.
Pita pula berkata, beliau akan menarik diri daripada pertimbangan itu sekiranya undian kedua pencalonannya gagal pada Rabu, sekali gus membuka jalan bagi pengganti yang mendapat sokongan penuh Senat dengan membiarkan status quo di tempat asalnya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca