PILIHAN raya bagi enam negeri akan diadakan pada 12 Ogos ini. Walaupun kempen secara rasmi belum bermula, namun pelbagai perjumpaan rakyat dan perhimpunan masyarakat telah diadakan oleh parti-parti politik bagi meraih sokongan. Kempen... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN raya bagi enam negeri akan diadakan pada 12 Ogos ini. Walaupun kempen secara rasmi belum bermula, namun pelbagai perjumpaan rakyat dan perhimpunan masyarakat telah diadakan oleh parti-parti politik bagi meraih sokongan.

Kempen secara terbuka atau online adalah platform utama bagi parti politik dan calon membentangkan hala tuju serta kelebihan masing-masing untuk dinilai oleh pengundi.

Bagi ahli parti dan penyokong tegar, bahan serta isi kandungan kempen akan diterima tanpa banyak persoalan, sementara pengundi atas pagar, setiap kenyataan dilaungkan oleh pemimpin parti dan calon akan dinilai untuk menentukan sokongan mereka.

Bahan dan penyampaian kempen yang bernas boleh memujuk pengundi. Sebaliknya, isu negatif yang ditimbulkan semasa kempen boleh menyebabkan pengundi hilang kepercayaan terhadap parti atau calon. Amat wajar bagi pihak keselamatan menekankan agar perkara berkaitan 3R (agama, kaum dan raja) tidak disentuh dalam kempen pilihan raya.

Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas ketegasan mereka mengambil tindakan tanpa mengira ke-dudukan orang yang melanggar undang-undang hanya kerana ingin meraih sokongan pengundi.

Kempen keterlaluan dan tohmahan dalam kalangan ahli politik juga menyebabkan sebahagian pengundi rasa jijik terhadap kegiatan politik serta tidak mahu mengundi pada pilihan raya.

Ada pengundi menyatakan mereka tidak mahu terpalit dengan sistem politik yang terlalu taasub dengan pengawalan kuasa tanpa mengira kepentingan rakyat. Parti politik menjanjikan bulan dan bintang semasa kempen, namun rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup tinggi serta pelbagai masalah sosial.

Sejak 2018, kerajaan telah berubah tiga kali tanpa pilihan raya. Perubahan ‘rakan kongsi’ dalam gabungan parti yang membentuk kerajaan menjadikan seolah-olah pilihan dilakukan pengundi pada pilihan raya tidak mempunyai nilai dalam pembentukan kerajaan.

Hak rakyat sebagai pengundi bagaikan hilang setelah tamat hari mengundi. Wakil rakyat membuat keputusan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berlandaskan kepentingan parti politik masing-masing bagi memastikan kedudukan dan penguasaan politik di dalam pentadbiran negara.

Pengundi tidak mempunyai ruang untuk menentukan wakil rakyat membawa isu-isu kepentingan rakyat. Kekecewaan itu menyebabkan ramai pengundi berasakan undi mereka sia-sia dan tidak mengundi mungkin menjadi opsyen bagi rakyat.

Mengundi bukanlah sesuatu yang wajib bagi rakyat Malaysia walaupun hak mengundi adalah perkara asas yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Negara seperti Singapura dan Australia mewajibkan rakyat mereka keluar mengundi. Denda akan dikenakan jika gagal keluar mengundi tanpa alasan dibenarkan.

Mengundi adalah tanggungjawab, bukannya sekadar hak yang boleh diabaikan mengikut perasaan. Walaupun tidak semua hasrat rakyat dapat dicapai melalui pilihan raya, namun sistem demokrasi diamalkan di Malaysia menjadikan pilihan raya suatu agenda negara yang harus didukung semua rakyat.

Memilih untuk tidak mengundi sebenarnya memilih untuk memberi laluan mudah kepada calon yang kita tidak inginkan. Dalam sistem Fisrt-Past-the-Post yang diamalkan di negara ini, setiap undi diambil kira untuk menentukan pemilihan wakil rakyat.

Sekiranya calon yang dipilih gagal untuk menjadi wakil rakyat, sekurang-kurangnya kita menyatakan isi hati melalui satu undi yang diberikan. Kemenangan kepada calon yang dipilih menjadikan suara satu undi itu lebih bermakna.

Pilihan raya berintegriti akan diperoleh melalui amalan nilai integriti tinggi dalam kalangan peserta pilihan raya terdiri daripada ahli politik, pihak pengurusan pilihan raya, badan penguatkuasaan, pemerhati dan pemantau pilihan raya, media serta lain-lain pihak berkepentingan.

Pilihan raya di negara ini bukanlah satu sistem sempurna. Namun, sistem ini jugalah yang membawa kita melalui 15 pilihan raya umum dengan aman dan membentuk kerajaan yang membawa kepada pembangunan mampan sejak merdeka.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) dalam laporannya yang diserahkan kepada kerajaan pada 2020 telah mencadangkan 49 pembaharuan bagi menambah baik sistem serta undang-undang pilihan raya di Malaysia.

*Amerul Muner Mohammad ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya, JPM dan Pengasas Bersama Centre for Electoral Education and Democracy, Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca