SINGAPURA - Bekas pemandu kepada ahli kanan Parti Pekerja (WP) di Singapura berusaha menghentikan hubungan sulit lelaki itu dengan presiden sayap pemudanya. Ahli Parlimen, Leon Perera dan Nicole Seah menyerahkan surat peletakan jawatan... Klik di sini untuk terus membaca

SINGAPURA - Bekas pemandu kepada ahli kanan Parti Pekerja (WP) di Singapura berusaha menghentikan hubungan sulit lelaki itu dengan presiden sayap pemudanya.

Ahli Parlimen, Leon Perera dan Nicole Seah menyerahkan surat peletakan jawatan selepas sebuah video tular di media sosial awal minggu ini memaparkan pasangan itu berpegangan tangan.

Leon dan Nicole, masing-masing sudah berumah tangga ialah ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat WP.

Frankie Wong, 80, yang merupakan pemandu Leon selama lebih sedekad mendakwa dia pernah menghubungi Setiausaha Agung WP, Pritam Singh sekitar lewat 2020 dan awal 2021.

"Saya hubungi Pritam dan memberitahunya bahawa Leon sedang menjalin hubungan sulit dengan Nicole. Saya meminta bantuannya untuk menamatkan hubungan tersebut.

"Pritam hanya menjawab okey dan meletak telefon,” katanya yang diberhentikan kerja tanpa notis pada Mac 2021.

Wong turut memaklumkan hubungan sulit Leon, 53, dan Nicole, 36, kepada ahli WP lain termasuk ahli Parlimen Gerald Giam, Dennis Tan dan Jamus Lim serta pengerusi parti, Sylvia Tan.

Namun, Frankie berkata, tiada seorang pun daripada mereka menghubunginya untuk maklumat lanjut dan kecewa dengan cara WP menangani perkara tersebut.

"Saya masih ingat bagaimana kami pernah bercakap tentang David Ong dan beliau berkata adalah bodoh jika ahli politik terlibat dalam hubungan sulit, hilang segala-galanya kerana seorang wanita.

Video tanpa suara berdurasi 15 saat yang tular sejak Isnin lalu di media sosial menunjukkan Perera mengusap tangan Seah.

"Tetapi akhirnya Leon sendiri terlibat dalam hubungan sulit,” tambahnya.

David Ong ialah Ahli Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Bukit Batok yang meletak jawatan pada 2016 kerana hubungan sulit dengan seorang lagi ahli parti tersebut.

Ditanya mengapa dia memutuskan untuk mendedahkan hubungan tersebut, Frankie berkata, dia tidak mahu nasib yang sama menimpa Leon.

"Ahli Parlimen ialah pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh dan hubungan sulit ini adalah salah. Saya hanya mahu mereka menasihati Leon untuk menghentikan hubungan tersebut.

"Saya membangkitkan isu itu dengan Pritam dan pemimpin lain supaya mereka boleh membantu Leon tetapi tiada siapa yang mempercayai saya,” ujarnya.

Ia adalah skandal ketiga menggegarkan landskap politik Singapura dalam masa seminggu.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran ditahan berhubung siasatan rasuah dan awal minggu ini pula dua penggubal undang-undang termasuk speaker dewan meletakkan jawatan kerana skandal hubungan sulit.

Ketiga-tiga mereka ialah ahli PAP yang memerintah.

WP dan PAP pada masa lalu memecat ahli kerana menjalinkan hubungan luar nikah. - Agensi

INFO

- Peletakan jawatan Leon Perera menandakan berakhirnya karier politik beliau yang bermula pada 2015.

- Pengunduran Perera menyebabkan satu kekosongan kerusi di Aljunied, kubu kuat WP yang dipegang sejak 2011.

- Menjelang pilihan raya 2025, WP kini perlu mencari calon-calon bukan sahaja untuk menggantikan Perera tetapi untuk kerusi yang dikosongkan Raeesah Khan di Sengkang.

- Khan meletak jawatan daripada parti dan sebagai ahli Parlimen pada November 2021 selepas mengaku berbohong di Parlimen.

Klik di sini untuk terus membaca