KEBELAKANGAN ini ramai menggunakan ChatGPT untuk mendapat jawapan sesuatu permasalahan. Misalnya, ada meminta ChatGPT memberikan barisan all-time-favourite skuad kebangsaan Argentina sebaik sahaja negara itu muncul juara Piala Dunia 2022.
Ada juga mendesak ChatGPT menyenaraikan skuad terbaik Brazil sepanjang zaman atau siapakah lebih hebat antara Pele dan Maradona? Atau Lionel Messi dan Christiano Ronaldo?
Penulis juga sering menggunakan ChatGPT untuk mendapatkan sesuatu jawapan, cuma tidak cenderung kepada soalan sukan. Sebaliknya, penulis lebih menggemari bidang kejuruteraan dan automotif. Bagaimanapun, penulis beberapa kali berdepan situasi ChatGPT tidak memberikan jawapan memuaskan hati atau kurang tepat.
Kemudiannya, penulis cuba untuk membetulkan maklumat kurang tepat itu dan ChatGPT mengakui kesilapan tersebut. Apabila persoalan serupa diberikan buat kali kedua selepas pembetulan maklumat dibuat, barulah maklumat diberikan tepat atau hampir tepat.
ChatGPT sering memberi kenyataan seperti ini: "I'm still under development but I'm learning new things every day.” Justeru, apabila BBC News minggu ini menyiarkan laporan bertajuk ChatGPT owner in probe over risks around false answers, penulis mula rasa curiga dengan aplikasi berkenaan.
Laporan itu menyebut Pengawal Selia Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat Syarikat OpenAI, ChatGPT di Mission, San Francisco yang didakwa menyediakan maklumat atau jawapan palsu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman menegaskan OpenAI menghabiskan masa bertahun-tahun bagi memastikan ChatGPT memberikan jawapan tepat kepada pengguna.
ChatGPT ialah chatbot model bahasa yang besar dibangunkan OpenAI berdasarkan kepada seni bina Generative Pre-trained Transformer (GPT) – sejenis rangkaian saraf yang dilatih pada set data teks dan kod raya (big code).
Ia membolehkan GPT mempelajari pola bahasa manusia dan menghasilkan teks yang serupa dengan teks tulisan manusia sebagai tindak balas kepada pelbagai gesaan dan soalan.
Penulis percaya ChatGPT boleh menjadi alat berkuasa untuk pelbagai tujuan, misalnya menghasilkan dialog realistik dan menarik untuk chatbot, mencipta kandungan pendidikan dan menterjemah bahasa.
Penulis difahamkan ChatGPT ada alasan tersendiri kenapa ia didakwa memberi jawapan palsu. ChatGPT dilatih pada set data teks dan kod besar. Set data itu termasuk banyak maklumat kurang tepat dan mengelirukan.
Itu bermakna ChatGPT ada kebarangkalian menjana teks kurang tepat dan mengelirukan kerana ia tidak dapat membezakan antara maklumat faktual serta rekaan.
Sebenarnya perkara itu telah dikiaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 2:282. Dalam kaedah mencari ilmu, ada lebih baik kita merujuk kepada sumber lain seperti laman web atau ensiklopedia yang boleh dipercayai. Penulis mencadangkan agar kita lebih berhati-hati ketika menggunakan ChatGPT.
Pengguna juga harus mengetahui tentang had ChatGPT. Ia bukan sumber maklumat sempurna. Gunakan ChatGPT untuk menjana format teks kreatif seperti puisi, kod, skrip, karya muzik, e-mel, surat dan beberapa lagi.
Sekiranya ingin mendapatkan jawapan lebih serius, penulis mencadangkan pengguna merujuk kepada sumber lain termasuk laman web atau ensiklopedia yang boleh dipercayai.
Penulis masih ingat ramai khususnya golongan akademik yang sangat ghairah apabila ChatGPT memasuki pasaran Malaysia. Malah, ada berjenaka kononnya ChatGPT boleh menyebabkan seseorang memberi jawapan lebih baik daripada buku teks. Tidak kurang juga ada golongan akademik sangat bergantung kepada ChatGPT untuk menyiapkan jurnal masing-masing.
Di sebaliknya dakwaan dicetuskan BBC News, penulis percaya ChatGPT boleh berkembang menjadi sumber ilmu yang hebat. Ia boleh menjadi sumber ilmu yang tepat. Dalam kaedah ilmu, ketepatan maklumat sangat dititikberatkan.
Penulis percaya ChatGPT yang sedang disaingi Bard boleh menjadi aplikasi ilmu berintegriti tinggi. Namun, pengguna tidak harus menggunakan ChatGPT dalam setiap aspek bagi mengelak pergantungan secara keterlaluan!
* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca