MINGGU lepas seorang pengarah syarikat telah didenda lebih RM2 juta kerana gagal untuk melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Jika dia gagal membayar denda itu, dia akan dipenjarakan selama 12 bulan. Pencukaian... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lepas seorang pengarah syarikat telah didenda lebih RM2 juta kerana gagal untuk melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Jika dia gagal membayar denda itu, dia akan dipenjarakan selama 12 bulan.

Pencukaian adalah satu perkara yang perlu ditempuhi oleh usahawan. Ini adalah perkara yang perlu juga mereka pelajari di samping ilmu-ilmu perniagaan lain. Sekiranya gagal memenuhi kehendak undang-undang cukai, perniagaan dan diri mereka secara peribadi boleh menghadapi masalah besar.

Di bawah Akta Cukai Pendapatan, seorang usahawan bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengira dan melaporkan pendapatan perniagaan yang mereka jalankan tetapi ada banyak lagi perkara perlu mereka patuhi seperti kaedah pengiraan cukai, membuat anggaran cukai dan membayar cukai secara ansuran.

Walaupun kebanyakan perniagaan ada sistem perakaunan dan menjana laporan-laporan seperti penyata kewangan, cukai yang kena dibayar hendaklah mematuhi kehendak akta cukai seperti yang disebut di atas, bukannya bergantung kepada laporan kewangan semata-mata.

Ada beberapa jenis perbelanjaan yang kena dibayar dalam menjalankan perniagaan tetapi tidak dibenarkan di bawah undang-undang cukai.

Kadang-kadang ada juga usahawan yang tidak dapat membezakan perbelanjaan peribadi dan perbelanjaan perniagaan. Guna wang perniagaan untuk membayar kedua-duanya.

Apabila cukai dikira, janganlah terkejut sekiranya jumlah pendapatan dikenakan cukai lebih tinggi daripada keuntungan perniagaan disebabkan perbelanjaan-perbelanjaan peribadi yang tidak lepas dari segi cukai pendapatan.

Jangan juga pelik sekiranya perniagaan yang ada masalah mengutip hutang mempunyai tanggungan cukai. Ini kerana cukai dikira berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan terkumpul.

Apabila ada jualan secara kredit, sudah ada keuntungan dari segi pencukaian. Jika pembeli lewat membayarnya dan melepasi tahun taksiran pencukaian, cukai kena dijelaskan walaupun pembayaran daripada pelanggan belum diterima.

Kadang-kadang ada usahawan yang mempercayai salah satu kaedah untuk mengurangkan cukai adalah dengan membeli kereta menggunakan wang perniagaan. Itu tidak betul.

Jika kita mengabaikan tanggungjawab berkenaan pencukaian, kita boleh didenda dengan jumlah yang besar. Ini tentunya akan menyebabkan perniagaan kita terkesan.

Satu langkah yang amat digalakkan ialah setiap perniagaan yang sudah nampak daya maju, perlu mempunyai penasihat cukai berpengalaman. Ia boleh membantu usahawan dan perniagaan dalam memahami tanggungjawab mereka berkenaan cukai serta mengatur perkara-perkara berkaitan isu-isu cukai.

Di pertengahan tahun seperti sekarang ini, antara perkara yang perlu ditinjau ialah pematuhan cukai, kedudukan cukai dan juga langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan kesemua insentif cukai yang ada dimanfaatkan.

Di samping menyusun urusan cukai perniagaan, jangan terlepas pandang kewajipan cukai diri sendiri sebagai rakyat yang bertanggungjawab. Kesemua ini perlu dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar perniagaan dan aset-aset peribadi kita tidak dirisikokan serta jangan ambil mudah.

* Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.

Klik di sini untuk terus membaca